malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bantuan golongan bujang dikembalikan atas saranan PM
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 4:39 PM
Dikemaskini: 9:17 AM
ADS

Meskipun tidak disebut dalam Belanjawan 2019, Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan pemberian bantuan wang tunai RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup 2018.

Dalam kenyataan media, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bayaran wang tunai itu akan memberi manfaat kepada kepada lebih tiga juta individu.

Bayaran itu akan melibatkan peruntukan RM300 juta dana awam.

Keputusan itu, jelas Lim, dibuat atas saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin Yassin.

"Perdana menteri telah menekankan bahawa isu tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian bagi semua yang berkeperluan dalam masa terdekat.

"Inilah sebabnya bayaran BSH sebanyak RM300 dibayar pada 28 Januari 2019 kepada semua isi rumah yang berkeluarga sungguhpun masih berdasarkan pangkalan data lama yang belum dikemas kini.

"Tambahan, timbalan presiden PH telah menyarankan supaya turut dibantu anak muda yang belum berkahwin dan bekerja tetapi berpendapatan kecil," kata kenyataan itu.

Ketika berkempen untuk PH sempena pilihan raya kecil (PRK) Semenyih semalam, Muhyiddin dipetik The Star sebagai berkata bahawa beliau sudah meminta Lim untuk mengembalikan bantuan bagi golongan bujang.

"Ketika saya jumpa Lim tentang BSH atau BR1M, saya baca di berita bahawa golongan anak muda tidak lagi diberi bantuan di bawah program ini.

"Saya minta menteri kewangan agar bantuan itu diteruskan kepada golongan anak muda yang tidak mempunyai pendapatan atau pekerjaan," katanya dipetik sebagai berkata.

Untuk rekod, di bawah program BR1M yang diperkenalkan kerajaan BN sebelum ini, golongan bujang menerima bantuan RM450 wang tunai.

Sementara itu, Lim menambah, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

Dalam ucapan Belanjawan 2019 pada Nov tahun lalu, Lim mengumumkan setiap isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 akan menerima wang tunai RM1,000 di bawah program BSH.

Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 pula akan menerima bantuan berjumlah RM750; dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.

Kerajaan turut memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

Setakat ini, kerajaan sudah memperuntukkan RM5 bilion bagi BSH.

Lihat Komen