malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kementerian Xavier tiada kuasa tarik balik moratorium lombong bauksit'
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 3:12 PM
Dikemaskini: 7:18 AM
ADS

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (WLNR) tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kesan alam sekitar, kata Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Presidennya SM Mohamed Idris berkata kuasa mengawal kesan alam sekitar, termasuk akibat perlombongan, terletak bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang boleh menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Malah, katanya lagi, moratorium terhadap perlombongan bauksit tiga tahun lepas dibuat oleh bekas menteri alam sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Gambar Fail - SM Mohamed Idris

“Jelas menteri air, tanah dan sumber asli tidak mempedulikan kebimbangan terhadap alam sekitar dan tidak berunding dengan komuniti tempatan yang terjejas atau kumpulan alam sekitar berhubung perkara ini dan tunduk kepada industri bauksit.

“Kami juga tertanya-tanya jika beliau berunding dengan MESTECC, yang merupakan pihak berkuasa berkaitan dengan alam sekitar,” kata SM Mohamad Idris merujuk kepada Dr Xavier Jayakumar.


Baca: Aktiviti melombong, pengeksportan bauksit boleh diteruskan semula


Xavier semalam berkata tempoh moratorium terhadap kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang yang berakhir 31 Mac depan tidak dilanjutkan.

Semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu serta penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

Keputusan itu diambil susulan keuntungan banyak buat kerajaan, yang pada 2015 menerima royalti RM47 juta.

Malah, katanya, dalam dialog, tiada satu pun pihak berkepentingan yang mahu industri bauksit dihentikan.

Dalam kenyataan hari ini, SM Mohamed mengingatkan moratorium itu pada asalnya dikuat kuasakan memandangkan kepada kesan alam sekitar yang serius.

Dakwanya, larian air permukaan daripada simpanan stok mencemarkan sumber air serta menjadikan jalan, sungai dan perairan pantai berwarna merah, sekali gus menjejaskan nelayan.

SM Mohamad juga mendakwa masih kurang kawalan alam sekitar yang jelas untuk mencegah berulangnya insiden pencemaran seperti sebelum ini.

“Kos alam sekitar terhadap orang ramai dan alam sekitar mestilah juga diambil kira dan kami amat kecewa apabila pihak menteri tidak mempedulikan perkara ini dan meletakkan kepentingan industri mengatasi kepentingan awam,” katanya.

Lihat Komen