malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib syor PH mandi air sungai, sejukkan badan, jika panas
Diterbitkan:  Feb 19, 2019 1:16 PM
Dikemaskini: 7:12 AM
ADS

Bekas perdana menteri, Najib Razak menasihatkan penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan agar tidak “panas” dengan kehadirannya pada pilihan raya kecil Semenyih.

Katanya, dirinya tidak lagi mempunyai jawatan baik di dalam Umno mahupun dalam BN serta tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil 2 Mac ini.

"Saya bukan calon di Semenyih. Saya juga bukan presiden Umno atau (pengerusi) BN. Buat apa nak serang saya?" soal Najib dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, adalah dilaporkan risalah propaganda yang dikaitkan dengan Najib disebarkan di Semenyih.

Risalah itu antaranya memuatkan tulisan 'Pencuri, perompak, penyangak, penyamun' 'Malaysia jangan lupa'.

Najib dalam hantaran di Facebook, turut berkongsi laporan berita Malaysiakini, hari ini yang bertajuk 'Najib umpama kereta antik, orang suka tegok tapi tak beli'.

"Saya cuma pergi ke Semenyih untuk beli sedikit barang di Tesco dan sekali-sekala ke sana untuk test mikrofon.

"Itupun PH mahu panas tiap-tiap hari. Kalau panas sangat, Semenyih ada waterfall. Mandi air sungai, sejukkan badan," katanya.

 Menurut Najib, dengan menyerang beliau setiap hari tidak akan menyebabkan ekonomi negara bertambah baik dan kos sara hidup rakyat menurun.

“Maka, menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud ekonomi akan bertambah baik atau agama telah dipertahankan.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud kos sara hidup rakyat akan turun.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud sijil-sijil tipu menteri tiba-tiba menjadi sahih.

“Atau menteri-menteri mereka tidak lagi menjadi bahan jenaka untuk menghiburkan rakyat tiap-tiap hari.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud janji-janji mereka telah ditepati dan bukanlah lagi capati free yang dihidang kepada rakyat tiap-tiap hari,” katanya sinis.

Lihat Komen