Pengiklanan

    Kerjasama Umno-PAS sihat jika tak tumpu pada 'hantu'

    (Dikemaskini )

    WAWANCARA | Kerjasama di antara Umno dan PAS sebagai gabungan pembangkang seharusnya boleh dilihat sebagai perkembangan yang sihat untuk demokrasi.

    Namun, kata bekas ketua pengarang akhbar rasmi PAS, Harakah, Ahmad Lutfi Othman, gabungan berkenaan kini lebih menumpukan kepada isu yang boleh mempertaruhkan keharmonian rakyat.

    "Kerjasama Umno-PAS ini satu perkembangan yang sihat untuk demokrasi. Tapi yang sedihnya, isu yang dibangkitkan lebih kepada kesalahan dan kelemahan kerajaan.

    "Memang perkara biasa (pembangkang) mencari kelemahan kerajaan untuk memperbaiki diri, tapi kadang-kadang sehingga mempertaruhkan kestabilan, keharmonian dan perpaduan rakyat.

    "Ini satu perkembangan yang tidak sihat," katanya ketika ditemubual Malaysiakini baru-baru ini.

    Selain itu, jelas Ahmad Lutfi, gabungan kedua-dua parti itu dapat memperkukuhkan barisan pembangkang dan mengurangkan "suara pengampu" dalam kerajaan.

    "Saya mengalu-alukan kerjasama dalam konteks memperkukuhkan barisan pembangkang, memperkuatkan pandangan kedua-duanya, mengurangkan suara-suara pengampu dan penjilat bagi pihak kerajaan.

    "Sebab sebelum gabungan PAS dan Umno ni, saya risau melihat ada berita-berita mengatakan ada 40 pemimpin Umno mahu lompat parti. Takkan semua nak masuk kerajaan?" katanya.

    Ahmad Lutfi bersama buku terbarunya yang disiapkan selepas PRU ke-14. 

    Tambah Ahmad Lutfi, isu-isu yang ditonjolkan oleh kedua-dua parti berkenaan ketika ini bertumpu pada penciptaan 'hantu' bagi membangkitkan ketakutan orang ramai terutamanya kaum Melayu.

    "(Mereka) macam mencipta 'hantu' untuk menakut-nakutkan orang. Bagi saya ini bukan satu langkah yang sihat.

    "Sepatutnya PAS dan Umno menampilkan kritikan-kritikan konstruktif yang betul-betul dapat memperbaiki kebajikan rakyat, mengangkat maruah negara yang sebelum ni teruk di mata dunia," katanya.

    Hubungan politik di antara PAS dan Umno mula diperkatakan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lagi.

    Di bawah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, hubungan itu bertambah erat meski selepas kekalahan BN yang menyaksikan pertukaran kerajaan pusat buat kali pertama di Malaysia.

    Kini, sama-sama berada di barisan pembangkang, kedua-dua parti itu bekerjasama menghadapi siri pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU ke-14, termasuk di DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan Parlimen Port Dickson.

    Malah, beberapa pemimpin PAS turut turun berkempen pada PRK Balakong menyokong calon MCA.

    Kerjasama PAS-Umno bagaimanapun hanya membuahkan hasil dalam PRK Cameron Highlands yang menyaksikan calon BN yang turut mendapat sokongan PAS memenangi kerusi itu.

    Ia merupakan kemenangan pertama buat pembangkang selain kemenangan pertama BN di bawah teraju Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mengambil alih tugas presiden dari Ahmad Zahid.

    60 tahun PAS musuhi Umno

    Mengimbas kemenangan PAS di Pantai Timur pada PRU ke-14, Ahmad Lutfi berkata, ia lebih menggambarkan penolakan kepada BN berbanding PH.

    "Mereka (pengundi PAS) dah biasa dengan PAS. Mereka buat keputusan beri (undi untuk) PAS. Jadi bagi saya, kemenangan PAS di pantai timur juga merupakan satu penolakan total kepada BN. Mereka tak tolak PH," katanya.

    Ahmad Lutfi juga meramalkan sekiranya kerjasama PAS-Umno digiatkan sebelum PRU ke-14 pun, sokongan yang diberikan pengundi masih tetap sama. Malah katanya ada kemungkinan penyokong PAS sendiri akan beralih arah dengan mengundi PH.

    "Penyokong PAS tak boleh terima kerjasama parti itu dengan BN serta dan Najib Razak yang mempunyai rekod terlalu buruk," katanya.

    Kemenangan PAS di Pantai Timur dan banyak kerusi di Kedah, katanya, juga disumbangkan oleh sentimen penyokong parti itu yang tidak boleh menerima Najib dan BN.

    Kata Ahmad Lutfi, ada pemimpin tertinggi PAS ingin melakukan kerjasama tersebut sebelum pilihan raya pada 9 Mei lalu, tetapi sebahagian daripada mereka bimbang dengan reaksi penyokong parti yang telah sekian lama menolak Umno.

    "Sebab selama 60 tahun ini, musuh besar PAS adalah Umno. Dengan segala korupsi, penyelewengan dan kezalimannya.

    "Dan di tempat-tempat yang PAS menang seperti di Kelantan dan Terengganu, adalah disebabkan sentimen anti Najib dan anti-BN. Bukan sentimen anti-PH," katanya dan menambah bahawa penduduk negeri Kelantan dan Terengganu sudah terbiasa dengan parti PAS dan pemimpinnya berbanding pemimpin PH.

    Selepas lima PRK sejak peralihan kerajaan pusat pada 9 Mei lalu, PAS dan Umno sekali lagi dijangka berganding bahu untuk berdepan PH, kali ini di Semenyih.

    Meskipun bermula dengan sedikit kekeliruan tentang pendirian PAS berhubung sokongan terhadap Umno di Semenyih, selepas masuk hari keempat kempen, rata-rata pemimpin kedua-dua parti itu kini dilihat sepakat untuk meneruskan kerjasama.

    PRK Semenyih yang akan menyaksikan pertembungan empat penjuru pada 3 Mac ini dijangka bertumpu antara calon PH dan calon BN yang akan mendapat sokongan PAS.

    Belanjawan 2020
    • Infografik
      Carta & Graf
    • Kuiz
      Apa anda dapat?
    • Undian
      Suka atau tidak?
    • Laporan langsung
      Laporan langsung kami

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih