malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Polis kenal pasti identiti suspek tumbuk wanita dalam lif MRT
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 4:44 PM
Dikemaskini: 9:45 AM
ADS

Polis telah mengenal pasti identiti suspek lelaki yang menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen Aliran Transit Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, di Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim hari ini berkata polis telah mempunyai maklumat peribadi suspek termasuk alamat rumahnya.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh mendedahkan butiran lanjut suspek warga tempatan itu kerana ia akan menjejaskan siasatan kami dalam kes ini.

“Hasil siasatan kami mendapati suspek telah menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam pada kira-kira 6.30 pagi itu berhampiran stesen MRT berkenaan sebelum menyamun mangsa di dalam lif,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Khamis lepas, seorang wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, suspek mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum bertindak menyerang serta melarikan barang milik mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata mangsa mengalami kecederaan dengan bengkak di dahi serta beberapa bahagian badan.

Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan dalam lif itu turut tular di laman sosial.

- Bernama

Lihat Komen