BERITA

Hamid Sultan enggan beri maklumat pada SPRM

Hafiz Yatim

18 Feb 2019, 6:33 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer yang membuat dakwaan menggemparkan minggu lalu enggan memberi sebarang maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Hari ini lima pegawai SPRM, termasuk Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki, bertemu Hamid di kamarnya pagi ini.

Bagaimanapun, Hamid yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Joy Appukuttan enggan memberikan sebarang maklumat kepada SPRM.

Ketika ditemui di luar Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini, Haniff berkata anak guamnya itu hanya akan memberi keterangan kepada pasukan khas untuk penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

"Hamid tidak akan memberi apa-apa maklumat kepada SPRM atau polis berkenaan soal ini sehingga sebuah pasukan khas dan RCI ditubuhkan," katanya.

Dalam afidavit sokongannya sebanyak 63 halaman, Hamid antara lain mendakwa ada hakim yang bersubahat dengan pihak swasta untuk menipu kerajaan, serta campur tangan dalam kes antaranya kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan dan perbicaraan Liwat II Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, SPRM mengesahkan telah bersemuka bersama Hamid di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Perjumpaan itu, menurut SPRM, adalah bagi mendapatkan penjelasan berhubung afidavit yang dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini.

"Dalam pertemuan tersebut, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM dan Hamid telah mencadangkan agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan RCI.

"SPRM akan mengkaji terlebih dahulu maklumat daripada afidavit tersebut dan akan meneruskan siasatan sekiranya ia mempunyai asas berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Akta SPRM 2009," kata kenyataan media SPRM.

SPRM jaga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berasas mengenai perkara yang dinyatakan dalam afidavit berkenaan dtampil menyalurkan maklumat di pejabat SPRM terdekat.

Setiap pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010, kata kenyataan itu lagi.

[Baca berita asal]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.