malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Takiyuddin: PAS tak pernah sebut tak bantu BN
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 11:13 PM
Dikemaskini: 3:13 PM
ADS

PRK SEMENYIH | PAS menafikan tidak akan menyokong Umno pada PRK kali ini.

Setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, persefahaman yang dicapai di antara PAS dan Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan dengan perdana menteri kelmarin tidak melibatkan perakuan bertulis.

“Kami cakap, kita tak sertai (PRK Semenyih) dan tahap penyertaan kami di Semenyih berbeza dengan PRK Cameron Highland.

“Pendirian PAS konsisten (iaitu) meletakkan kepentingan Islam dan Melayu (sebagai keutamaan) dan pihak mana yang letakkan kepentingan Islam.

"Kami terbuka kepada interpretation (tafsiran) dan kami sokong wakil pembangkang,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas sokongan PAS terhadap Umno selepas Mahathir mendakwa mereka mereka buat perakuan untuk tidak menyokong Umno pada PRK Semenyih.

Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media di Masjid Rusila, hari ini.

Siaran langsung sidang media itu disiarkan di Facebook Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Turut kelihatan sama dalam sidang media itu ialah Idris, Bendahari Dewan Ulama, Dr Khairuddin Aman Razali Ketua Penerangan PAS dan Nasrudin Hassan.

Ditanya adakah Abdul Hadi akan turun berkempen untuk BN, Idris segera menjawab, ia bergantung kepada jadual anggota parlimen Marang berkenaan.

“Kena lihat jadual, nanti kita tengok jadual (dia),” katanya.

Ditanya adakah PAS tidak menyokong Umno, Khairudin pula segera menjawab, tidak timbul isu berkenaan, sebelum dicelah Takiyuddin yang berkata: “PAS tak pernah sebut dan tak timbul isu”.

Semalam Mahathir memberikan sedikit maklumat mengenai pertemuan kali kedua beliau dengan Presiden PAS Abdul Hadi di Kuala Lumpur.

Pertemuan tersebut berlangsung di pejabat Mahathir di Yayasan Al-Bukhari dan atas permintaan Abdul Hadi.

Kata Mahathir PAS menyatakan perakuan untuk tidak memberikan sokongan kepada Umno dan BN dalam PRK Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Ditanya tahap komitmen yang akan diberikan PAS di Semenyih, Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata: "Ia terpulang kepada pemahaman masing-masing”.

Takiyuddin turut berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada BN berkaitan tahap sokongan berbeza buat mereka.

Lihat Komen