Pengiklanan

    Di kubu PAS, risau Hisham bertukar terharu


    (Dikemaskini )

    PRK SEMENYIH | Sebagai orang kuat Umno dan pernah menjawat kedudukan kanan dalam parti itu dapat difahami mengapa Hishammuddin Hussein berasa "risau" sebelum turun padang ke kubu kuat PAS hari ini.

    Namun apabila beliau hadir sendiri bersama anaknya di kawasan tersebut kerisauan berkenaan bertukar menjadi rasa amat terharu.

    Pengalaman itu diceritakan sendiri oleh Hishammuddin semasa melawat salah satu lokasi yang berada dalam kawasan kerusi DUN Semenyih.

    "Saya terharu sangat dengan sokongan pihak PAS hari ini.

    "Saya tahu di Kantan Permai ini kubu kuat PAS, jadi saya dan anak hendak turun tadi, risau juga... tapi kalau beginilah sambutan (yang diberikan) saya cukup yakin kita boleh menang," katanya.

    Anggota parlimen Sembrong itu berkata demikian ketika hubungan kerjasama di antara PAS dan Umno menjadi tanda tanya ekoran dakwaan dibuat Dr Mahathir Mohamad semalam.

    Menurut perdana menteri, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, memberi pengesahan bahawa PAS tidak akan menyokong BN di Semenyih.

    Tak dicabar PAS

    Pengakuan itu dibuat Abdul Hadi semasa mereka bertemu di ibu negara, kelmarin.

    Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

    Bagaimanapun hari ini Takiyuddin serta beberapa pemimpin kanan PAS menjelaskan tidak timbul isu parti itu tidak lagi menyokong Umno.

    Cuma kata mereka komitmen yang diberikan kepada parti terbabit kini berbeza jika dibandingkan dengan PRK Cameron Highlands akhir Jan lalu.

    Semalam, sejumlah pemimpin kanan PAS turut mengiringi calon BN Zakaria Hanafi, 58, semasa proses penamaan calon di Kajang semalam.

    Untuk rekod dalam PRU ke-14 lalu PAS tidak meletakkan calon mereka untuk mencabar Hishammuddin di Sembrong seperti kebanyakan kerusi lain.

    Keputusan itu menyaksikan anak bekas perdana menteri ketiga Malaysia itu hanya dicabar calon PH, Onn Abu Bakar. Hishammuddin berjaya mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

    Kata Hishammuddin usaha melaga-lagakan Umno dan PAS terbukti gagal kerana di peringkat akar umbi penyokong dan ahli kedua-dua parti menterjemah kerjasama dengan cukup baik.

    "Jentera Umno dan PAS ada di sini dan apabila saya turun ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) Kantan Permai, saya tengok gandingannya cukup hebat," katanya.

    Sementara itu mengulas kenyataan Takiyuddin petang tadi, Hishammuddin berkata pada realitinya hubungan Umno dan PAS berada pada tahap lebih baik.

    Malah katanya ia boleh dianggap lebih baik berbanding apa yang ditunjukkan PAS semasa di Cameron Highlands.

    "Jadi saya tak tahu apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih