Pengiklanan

    Jangan percaya cakap PAS, pesan Mat Sabu


    (Dikemaskini )

    PRK SEMENYIH | Susulan kenyataan terbaru PAS berhubung sokongan parti itu kepada calon BN di Semenyih, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menegaskan ia tetap tidak boleh dipercayai.

    Menurut Mohamad, PAS sebuah parti yang sanggup berbohong dan tidak boleh dipercayai sehingga menjejaskan imej Islam yang dibawa oleh parti berkenaan.

    "Tak boleh percaya... semua yang dia cakap, bohong.

    "Dia mengaku membohong adalah wajib bagi mereka, (justeru) PAS cakap apa pun jangan percaya," katanya.

    Mohamad yang pernah menjadi timbalan presiden PAS sebelum beliau serta beberapa yang lain disingkirkan melalui muktamar pada 2015 berkata parti itu terbukti sanggup berbohong seperti apa yang terdedah melalui isu rakaman audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

    "Perdana menteri mengatakan - menerusi pertemuan mereka - PAS tidak menyokong calon BN, namun pemimpin lain PAS hadir pada hari penamaan calon (BN)," katanya.

    Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Amanah Kawasan Pasir Mas di Kampung Jias, Pasir Mas, hari ini.

    Cameron Higlands, Semenyih berbeza

    Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, untuk PRK Semenyih parti itu lagi tidak memberikan tahap pembabitan dan komitmen seperti yang ditunjukkan di Cameron Higlands sebelum ini.

    Menurutnya, pendirian itu selaras dengan sikap PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi hal-hal lain, serta hubungan mereka dengan Umno dibuat atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

    "PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu BN, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

    Isu tersebut menjadi tumpuan selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pada pertemuannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

    Kata perdana menteri PAS menyatakan tidak akan menyokong Umno pada PRK DUN Semenyih.

    Sementara itu mengulas lanjut, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau tidak tahu sejauh mana perbincangan antara Mahathir dan PAS.

    Namun tegas menteri pertahanan itu, apa yang dikatakan PAS hari ini semua suatu pembohongan.

    "Bagi mereka berbohong itu wajib dan saya yakin selepas ini ahli PAS hilang kepercayaan kepada parti mereka kerana mempunyai pemimpin yang suka berbohong," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih