Pengiklanan

    Ambiga: Bersatu makin hampir jadi Umno 2.0


    (Dikemaskini )

    Dr Mahathir Mohamad wajar dipuji atas usahanya memerangi rasuah, namun partinya, Bersatu, perlu berhati-hati bagi mengelakkan pertubuhan berkenaan menjadi Umno 2.0.

    Menurut aktivis masyarakat dan peguam terkemuka, S Ambiga, antara langkah terpuji diambil perdana menteri ialah menyediakan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP).

    "Beberapa langkah yang baik diambil perdana menteri. Beliau benar-benar mahu melawan rasuah dengan adanya NACP.

    "Ada beberapa perubahan berlaku dan naratifnya sudah berubah," katanya yang pernah menganggotai Jawatankuasa Reformasi Institusi ditubuhkan PH selepas membentuk kerajaan pada Mei lalu.

    Namun beliau yakin kepimpinan Mahathir dalam Bersatu memberikan tanggapan berbeza sama sekali.

    "Berkaitan Bersatu, pada saya ia kelihatan semakin mahu menjadi Umno 2.0," katanya.

    Untuk menjelaskan kenyataannya itu Ambiga memberikan dua contoh.

    Kelayakan dipertikai ramai

    Pertama kata Ambiga, Mahathir nampak tidak menunjukkan kebimbangan terhadap beberapa pemimpin Bersatu yang mengemukakan idea-idea kontroversi.

    Mahathir juga katanya tidak bertindak ke atas pemimpin parti yang dipertikaikan kelayakan akademik mereka.

    "Ada salah seorang naib presiden yang berkata dia percaya kerajaan wajar memberikan mereka kontrak dan beliau (Mahathir) tidak menyanggah kenyataan tersebut dengan segera.

    "Pada saya, ia adalah masalah kerana tokoh terbabit sebenarnya menggalakkan rasuah (dalam kes tersebut)," katanya merujuk kepada kenyataan bekas pengerusi SPR yang kini menyertai Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman, pada Dis tahun lalu.

    Menurut Abdul Rashid ketua-ketua bahagian Bersatu wajar diberikan projek kerajaan agar mereka mampu mempertahankan kepentingan parti terbabit.

    Ambiga turut menyentuh kesahihan kelayakan akademik sesetengah pemimpin parti berkenaan dan menganggapnya sebagai isu yang besar.

    "Ramai orang kata ia isu kecil. Pada saya, ia isu yang besar, sebab jika anda menipu mengenainya, anda boleh menipu juga pada hal-hal lain," katanya.

    Ambiga berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Democracy Fest 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya semua orang termasuk ahli politik bercakap mengenai kedaulatan undang-undang.

    Namun kata Ambiga beliau tidak pasti sama ada mereka benar-benar memahami perbezaan di antara kedaulatan undang-undang atau memerintah mengikut undang-undang.

    "Sebaik mereka memahami perbezaan penting itu, maka kita akan melihat perubahan," katanya.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih