Pengiklanan

    Permaisuri Agong reka corak baju guna bauksit

    (Dikemaskini )

    Jika dua hari lalu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar mendedahkan baginda memiliki baju kurung daripada kain Tenun Diraja Pahang bauksit, hari ini baginda sendiri menunjukkan bakat mereka cipta corak baju daripada bahan mineral itu.

    Hanya berbekalkan sehelai baju-T Pagoda berwarna putih, getah pengikat, air bauksit, pewarna yang dihasilkan daripada pokok tarum atau nama saintifiknya Indigofera Tinctora, baginda berjaya menyiapkan baju bercorak abstrak dengan warna jingga dan indigo yang menarik.

    Baju-T yang telah siap itu kemudian dikurniakan kepada juruiring baginda, Brig Jen Mohd Zahari Yahya daripada TUDM.

    “Saya nak tunjuk kepada semua, bauksit ini boleh juga dijadikan bahan pewarna pakaian dan lepas ini sesiapa yang berminat untuk jadikannya bahan pewarna pakaian, boleh minta dengan Felda,” titah baginda secara bergurau kepada Bernama.

    Tunku Azizah sebelum itu berkenan mencemar duli meluangkan masa lebih lima jam menyertai Bengkel Natural Dye Creative Workshop yang diadakan di Perkampungan Budaya Pulau Keladi di Pekan dengan diiringi puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Sultan Abdullah dan menantu baginda Tengku Puteri Suraiya Afzan Mohamed Moiz.

    Selain baju-T itu, baginda turut berkenan mereka corak beberapa lagi baju-T dan ‘apron’ menggunakan teknik ‘ikat celup’ sebelum menggalakkan juruiring-juruiring baginda turut sama mencuba menghasilkan rekaan sendiri pada baju putih yang disediakan.

    Pakar pewarna tekstil

    Sementara itu pengerusi program, Fatimah Ismail berkata bengkel dua hari itu diadakan dalam usaha untuk mengetengahkan kepada pengamal industri tekstil di negara ini tentang teknik ‘natural dye’ melalui pengalaman pakar-pakar tekstil dari dalam dan luar negara.

    “Dalam bengkel ini kita mengetengahkan empat orang pakar pewarna tekstil dari Laos, Thailand, India dan Indonesia selain pakar-pakar tempatan seperti Aziz Awang untuk kongsikan ​​​​​​​pengetahuan serta pengalaman mereka berkaitan ‘natural dye’ ini.

    “Banyak tip telah dikongsikan bersama hampir 100 peserta yang menyertai bengkel ini dari seluruh negara dan ia diharap mampu membantu memberikan lebih banyak idea kepada mereka untuk menghasilkan produk yang menarik serta berkualiti dengan menggunakan bahan alam semula jadi,” katanya.

    Selain bauksit, antara bahan pewarna alam semula jadi yang turut diketengahkan dalam bengkel ini termasuk daripada kulit kayu bakau, daun mangga, daun ceri, selain daun dan kulit buah manggis.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih