malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Dah 4 bulan, kenapa tak buka semula kes bunuh Altantuya, Morais
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 5:48 PM
Dikemaskini: 9:48 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menyoal kenapa kerajaan Pakatan Harapan tidak membuka semula siasatan terhadap kes-kes pembunuhan berprofil tinggi yang dikaitkan dengannya.

Najib pada Oktober tahun lalu telah mengarahkan pembantunya membuat suatu laporan polis menggesa pihak berkuasa membuka semula kes tersebut supaya beliau dapat membersihkan namanya.

"Sudah 10 tahun, jentera dan propaganda DAP berkali-kali menuduh saya adalah pembunuh Altantunya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed.

"Semua kertas siasatan dan kuasa agensi-agensi siasatan untuk semua kes pembunuhan ini ada pada tangan Kerajaan PH.

"Oleh itu, saya mahu semua tuduhan-tuduhan pembunuhan terhadap saya disiasat dan diputus supaya kita tahu siapa yang benar-benar berdosa.

"Tetapi setelah lebih dari 4 bulan, kerajaan PH masih tidak membuka semula kes-kes pembunuhan ini," katanya pada suatu hantaran di Facebook hari ini.

Oleh sebab itu, Najib berharap rakyat Malaysia tidak akan lagi mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan itu yang disifatkannya sebagai fitnah.

"Dengan perkembangan terkini ini, saya harap semua rakyat Malaysia tidak lagi melibatkan nama saya dengan semua kes-kes pembunuhan ini.

"Adalah sangat zalim jika nama seorang difitnah sebagai pembunuh. Apatah lagi jika difitnah berterusan telah membunuh 5 orang?

"Perlu diingati bahawa angkara fitnah itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan," katanya.

Altantuya ditembak mati dan diletupkan dnegan bahan letupan gred tentera pada 2006 oleh dua pengawal Najib yang merupakan anggota unit elit komando polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Kedua-duanya dijatuhi hukuman mati tetapi Sirul lari ke Australia dan sekarang ditahan di sana. Menteri Luar Australia Julie Bishop pada Ogos 2018 berkata pendirian negaranya mengenai Sirul adalah mengenai soal prinsip kerana ia melibatkan hukuman mati.

Ini kerana Australia mengamalkan prinsip menentang hukuman mati dan tidak memulangkan pelarian yang memohon suaka kerana berhadapan hukuman mati di negara asalnya.

Sementara itu Kevin Morais pula merupakan timbalan pendakwaraya yang dibunuh pada 2015 ditengah-tengah tindakan terhadap para penyiasat yang terlibat dalam pasukan petugas khas menyiasat skandal 1MDB, anak syarikatnya SRC International dan Najib.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown mendakwa timbalan pendakwaraya SPRM, Morais menghantar kepadanya draf pertuduhan terhadap Najib yang menjadi perdana menteri ketika itu mengenai skandal 1MDB yang kemudian didakwa oleh pihak berkuasa sebagai palsu.

Rewcastle-Brown membuat dakwaan itu dalam pernyataan pembelaan berkaitan saman fitnah yang difailkan (dan kini telah diselesaikan) terhadapnya di United Kingdom oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada November 2017.

Editor Sarawak Report juga mendakwa Morais telah memberikan maklumat mengenai siasatan SPRM terhadap bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan peguam itu merancang bertemu dengannya di London.

Mayat Morais ditemukan di dalam sebuah tong dram yang telah dipenuhi simen konkrit di Subang Jaya.

Hussain Najadi merupakan pengasas Arab Malaysia Development Banking Group, yang kini dikenali sebagai Ambank. Beliau ditembak mati pada Julai 2013.

Pascal Najadi, anak Hussain mendakwa ayahnya dibunuh kerana melaporkan "rasuah." Akaun Najib yang didakwa menerima kemasukan berbilion ringgit dari dana yang diselewengkan adalah di Ambank.

Bagaimanapun, siasatan polis terdahulu tidak menemukan sebarang kaitan dengan Najib.

Najib telah berulang kali menafikan semua tuduhan yang mengaitkannya dengan kes pembunuhan berkenaan.

 

Lihat Komen