malaysiakini logo
story-image
ADS

Penyokong PAS yang keliru dengan pendirian parti mereka yang masih tidak jelas dalam pilihan raya kecil (PRK) Semenyih diseru menyokong calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dalam sidang media hari ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata, pengundi perlu memilih pembangkang yang jelas.

"Kita sudah dengar (kenyataan) Perdana Menteri Dr Mahathir Moahamd, tapi kita nak dengar juga pandangan PAS.

"Yang penting, kita perlukan pembangkang. Tapi hari-hari seolah-olah PAS berdiam diri.

"Bahaya memilih parti yang tidak jelas (dengan pendirian), perlu pilih pembangkang yang jelas, dan PSM pembangkang yang jelas. PAS dan Umno, kerjasama pun tak pasti.

"Bagi PSM kita melihat ia hanya mendedahkan bahawa pembangkang Umno-PAS rapuh, tak begitu kuat, kami melihat ini sesuatu yang positif untuk PSM," katanya.

Mengatakan hal serupa, calon PSM bagi PRK Semenyih, Nik Aziz Afiq Abdul berkata, sesetengah rakannya dalam PAS keberatan untuk mengundi BN mahupun Pakatan Harapan (PH).

"Mereka ada masalah tidak setuju dengan parti-parti dalam PH, juga sekarang ini mereka tak tahu apa hubungan PAS dengan Umno, jadi saya lihat ini sebagai kelebihan.

"Saya merayu dan yakin ahli-ahli PAS faham perjuangan saya dan akan sokong PSM," katanya.

Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi PH semalam mendakwa beliau dimaklumkan Abdul Hadi bahawa PAS tidak akan menyokong Umno dalam PRK Semenyih.

Dr Mahathir turut mendakwa beliau mempunyai perjanjian bertulis berhubung perkara itu.

Setakat petang ini, Abdul Hadi belum mengesahkan lagi dakwaan Dr Mahathir, sementara pemimpin PAS dan BN masing-masing menafikan dakwaan berkenaan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati hari kedua kempen di Semenyih tidak menyaksikan ramai jentera PAS. Bagaimanapun, mereka dilihat aktif di kawasan Taman Seri Tanjung dan Semenyih Indah.

Lihat Komen