malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

WAWANCARA | Kebebasan media di bawah kerajaan baru masih belum teruji sehingga pemimpin mereka terlibat dengan skandal yang menyamai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas ketua pengarang akhbar Harakah.

Menurut Ahmad Lutfi Othman, buat masa ini, media masih memaparkan isu berkaitan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, yang mana beliau menyifatkan keadaan itu sebagai memihak kepada kerajaan.

"Media yang mengkritik pembangkang tak ada masalah, media yang membongkar pasal Najib, Rosmah tak ada masalah.

"Tapi andainya menteri-menteri kerajaan juga terabit, perdana menteri juga terbabit, di situ akan teruji kebebasan media kita.

"Sekarang ni mungkin tak nampak sebab kesalahan tu belum datang. Contohnya jika ada satu skandal berbentuk 1MDB berskala kecil di dalam kerajaan PH, dan ketika itu media mula membongkar, kita nak tengok reaksi kerajaan macam mana," katanya ketika ditemubual Malaysiakini baru-baru.

Beliau yang berkhidmat dengan akhbar lidah rasmi PAS pada era BN, sejak diterbitkan pada 1987, mengibaratkan kerajaan baru seperti berada dalam rumah kaca.

Ini kerana menurutnya, PH tidak mempunyai "kelebihan" seperti kerajaan terdahulu yang mempunyai kuasa untuk mengawal maklumat daripada dilaporkan di dada-dada akhbar.

"Ini satu sebab kerajaan agak telus. Tapi saya rasa masa demi masa berlalu, zaman untuk nak tutup penyelewengan, nak monopoli maklumat dah tak ada. 

"Zaman ni dah berlalu. Kerajaan boleh berusaha tutup. Tapi tidak dengan zaman telefon canggih, gajet-gajet dan internet," katanya.

Beliau mengimbas kembali bagaimana media dikawal ketika pentadbiran BN sehingga menyekat kebebasan media.

Pada tahun 2000, majalah Detik, Al-Wasilah dan Eksklusif diarah tutup kerana kandungannya berbaur politik.

Pada Disember 2001 pula, akhbar The Sun dineutralisasikan, hingga pemiliknya terpaksa memohon maaf kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya dalam laporan muka depan akhbar tersebut.

Hari-hari boleh kritik kerajaan

Katanya, ini tidak termasuk dengan situasi bagi penulis sepertinya apabila buku-buku yang dihasilkan beliau dirampas oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.

"Malangnya, bila kerajaan baru terbentuk, saya dah uzur sangat dan terlantar," katanya yang kini menderita dengan penyakit buah pinggang.

Beliau yang berusia 55 tahun berkata pihak KDN kini tidak lagi mengganggu penerbit dan pengarang sekiranya tidak berpuas hati dengan laporan berita.

"Dulu silap sedikit mereka (kerajaan) akan telefon dan panggil (pengarang). Ini satu gangguan kepada media.

"Sekarang (mengenai) Umno, Utusan boleh keluarkan (beri liputan) lagi, tak ada masalah pun, hari-hari kritik kerajaan tak ada masalah. Saya rasa TV3 dan sebagainya juga masih ada simpati kepada Umno, tak ada masalah.

"Kerajaan takkan jatuh kerana kritikan tapi sebaliknya akan kuat kerana ada kritikan media dan apabila kerajaan boleh respon kritikan itu dengan baik," katanya.

Tambahnya, satu tanggapan yang palsu bahawa kerajaan boleh tumbang dengan kritikan media.

Pembaca akhbar Melayu rugi

Malah, menurut Ahmad Lutfi, pembaca akhbar Melayu sering ketinggalan berbanding pembaca lain disebabkan kekangan menulis secara bebas.

Ini berbeza dengan pembaca akhbar Inggeris yang berpeluang mendapat maklumat yang lebih meluas dan analisis yang bernas.

"Selama ni terutama pembaca Melayu rugi besar apabila media dikongkong. Mereka tak dapat maklumat yang tepat, mereka tak dapat analisis yang tajam, mereka tidak dapat membaca rencana-rencana yang bernas.

"Sepatutnya pengguna media mereka memberikan satu reaksi yang segera dan responsif. Mereka harus menunjukkan bahawa kami tidak boleh diperbodoh-bodohkan.

"Sebab tu saya rasakan akhbar Inggeris dan Cina tak perlukan boikot kerana mereka faham apa yang pembaca nak. Tapi akhbar Melayu ni kita perlukan boikot," katanya.

Lihat Komen