malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR arah ceramah PH dihenti kerana tiada permit
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 8:56 AM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

PRK SEMENYIH | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan penganjur program Pakatan Harapan (PH) yang pertama sempena pilihan raya kecil (PRK) Semenyih dihentikan kerana tiada permit, semalam.

SPR berbuat demikian ketika pegawai suruhanjaya itu mengadakan kunjungan mengejut pada ceramah yang digelar ‘Pentas Anak Muda Harapan’ yang diadakan di Tapak Pasar Malam Taman Jenaris, lapor Malaysia Gazette.

Calon PH bagi PRK itu, Muhammad Aiman Zainali dijadualkan sebagai penceramah terakhir bagi program berkenaan, namun dikatakan tidak hadir kerana menghadiri majlis perkahwinan di kawasan terdekat.

Pengelola program, Ammar Fauzi yang juga merupakan presiden NGO Effort Malaysia, dipetik berkata pihaknya akur dan sedar ketiadaan permit bagi program berkenaan.

“Kita dah mulakan program, dah buat juga, saya pun cuma pengelola saja, mungkin saya banyak undang-undang baru, saya pun orang tempatan dan bila SPR kata tak boleh, tak bolehlah.

“Kita ikut undang-undang, cuma kelemahan saya, bukan Pakatan Harapan, saya yang anjur ni tak pandai dengan permit.

“SPR bagi penerangan cukup baik, dia cakap tak apa, kamu buat juga makan-makan ni, ia kekhilafan saya,” katanya dipetik dalam laporan berkenaan.

Sebelum dihentikan, program itu sempat menampilkan Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Edry Faizal menyampaikan ceramah.

Pegawai SPR kemudian tiba di tapak program menaiki van yang bertulis ‘Penguatkuasa Pilihanraya’ dan seterusnya mengarahkan program dihentikan sebaik kedua-dua penceramah itu selesai memberikan ucapan.

Program adalah anjuran Pemuda Pakatan Harapan.

Penganjur dilaporkan turut menawarkan servis motosikal percuma kepada 100 pengunjung terawal.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir yang turut disenaraikan sebagai penceramah dipetik berkata, beliau tidak maklum bahawa program itu tidak mendapat permit.

Ketika ditanya sama ada program servis motosikal percuma itu melanggar undng-undang pilihan raya, Shazni berkata, ia terpulang kepada suruhanjaya itu untuk membuat keputusan.

“Itu kena tanya SPR sebab mereka yang akan tentukan samada ia merupakan satu kesalahan atau tidak,” katanya.

Ketika ditemui pada program di pasar Pekan Semenyih, Aiman enggan mengulas.

"Saya tak berani komen tentang perkara itu. Saya tak pasti. Kami dijemput dan dimaklumkan (tentang kejadian itu)," katanya.

Aiman bagaimanapun berkata isu berkenaan adalah berhubung penganjur dan bukannya Pemuda PH.

Ditanya sama ada kejadian itu akan merosakkan imej {H, Aiman berkata: "Saya tak berani nak komen".

Lihat Komen