malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sukar untuk percaya Mahathir, kata Umno
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 12:49 AM
Dikemaskini: 4:49 PM
ADS

Umno sukar untuk mempercayai tuduhan Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS melalui Presidennya Abdul Hadi Awang menyatakan hasrat untuk tidak menyokong parti pembangkang itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketua Penerangan Umno, Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata ia berdasarkan rekod Perdana Menteri itu sejak kebelakangan ini yang memperlihatkan tuduhan itu tidak nampak kebenarannya.

"Apatah lagi jelas kelihatan sokongan dan kerjasama Umno, PAS di PRK Semenyih. Sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat berjalan dengan baik malah lebih tersusun berbanding beberapa PRK sebelum ini.

"Justeru tidak nampak kebenaran apa yang disebut oleh perdana menteri, lebih-lebih lagi beberapa kenyataan pimpinan PAS mengenai isu ini juga memperlihatkan penafian mereka mengenainya.

"Malah Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang bersama-sama dengan Abdul Hadi di Yayasan Al-Bukhary, bertemu Perdana Menteri turut hadir ke Semenyih bagi menyatakan sokongan kepada calon Umno. Ini dalil kenyataan perdana menteri sukar dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu ketika ditemui media mendakwa Abdul Hadi berkata yang PAS tidak akan menyokong Umno di Semenyih.

Katanya, perkara itu dinyatakan Abdul Hadi ketika pertemuan di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary Kuala Lumpur.

Pertemuan itu turut dihadiri Takiyuddin yang juga Anggota Parlimen Kota Bharu serta Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun kenyataan Mahathir itu disanggah oleh pemimpin PAS yang menyatakan kesediaan parti itu untuk menyokong calon BN pada PRK DUN Semenyih.

Sementara itu Shamsul berkata, Mahathir sebenarnya gusar dengan kekuatan kerjasama Umno PAS yang mengugat sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) terutamanya Bersatu.

"Jadi pada saya beliau gunakan sepenuhnya pertemuan dengan Presiden PAS untuk melakukan sesuatu bagi memecah belahkan hubungan Umno, PAS.

"Ini pada saya permainan dan perang psikologi oleh perdana menteri yang berpengalaman namun boleh juga dibaca permainannya.

"Oleh itu kita harus berwaspada kerana kita yakin banyak lagi perkara lain yang beliau akan lakukan bagi memecahkan hubungan Umno, PAS," katanya lagi.

Lihat Komen