malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan Johor murka tindakan menteri ceramah di masjid
Diterbitkan:  Feb 16, 2019 9:05 PM
Dikemaskini: 1:49 PM
ADS

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan rasa murka terhadap tindakan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang dikatakan memberi ceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Menurut kenyataan disiarkan di laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa peraturan di semua masjid di Johor tidak membenarkan ceramah diadakan kecuali mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar Salahuddin segera mengadap baginda serta memohon maaf secara bersurat selain tidak mengulangi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Titah baginda dikeluarkan selepas rakaman video menunjukkan Salahuddin berceramah dalam sebuah masjid tular di media sosial.

Baginda juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid mematuhi peraturan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara  itu tidak berulang.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah baginda.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Salahuddin menafikan beliau memberikan ceramah politik dalam masjid berkenaan semalam.

Malaysiakini difahamkan kenyataan Salahuddin itu dibuat sebelum titah SUltan Ibrahim dikeluarkan.

Salahuddin yang juga timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah), berkata beliau melawat beberapa kawasan parlimennya semalam di Pulai sebelum singgah di Masjid Kolam Air untuk menunaikan solat Jumaat.

“Saya tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari dan 20 minit sebelum azan, imam masjid memanggil saya untuk memberikan tazkirah kepada jemaah.

“Saya bercakap kira-kira 10 minit berkisar amalan berbuat baik di kalangan masyarakat.

“Saya tidak langsung berceramah mengenai politik apatah lagi memberhentikan khutbah Jumaat seperti didakwa di dalam media sosial.

“Saya sudah berkecimpung 35 tahun dalam dunia politik dan tidak sebegitu bodoh untuk memberikan ceramah politik di dalam masjid. 

"Video 45 saat yang disebarkan itu tidak menggambarkan tazkirah penuh yang saya sampaikan,” katanya.

Lihat Komen