Pengiklanan

    PAS sedang minta nyawa, kata Pemuda Amanah

    (Dikemaskini )

    Pendedahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih merupakan bukti kepincangan politik PAS, kata Pemuda Amanah.

    Naib ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin mendakwa PAS sedang 'meminta nyawa' rentetan banyak isu yang ditimbulkan pimpinannya sebelum ini.

    "Dengan perkembangan terbaru (pendedahan Mahathir), jelas menunjukkan kepincangan langkah politik PAS.

    "Dan kita tidak menolak kemungkinan PAS sedang 'minta nyawa' rentetan banyak isu-isu yang ditimbulkan pimpinannya sebelum ni yang secara keras telah menyentuh hal ehwal keselamatan negara," katanya kepada Malaysiakini.

    Terdahulu, pagi tadi Dr Mahathir mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno lagi susulan pertemuannya dengan Abdul Hadi.

    "(PAS) tak akan menyokong Umno, tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani," katanya.

    Perjumpaan bersama Hadi di pejabat Mahathir di Yayasan al-Bukhari, Kuala Lumpur itu turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Dalam pada itu, PAS masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendedahan Mahathir.

    Hadi ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu semalam menyatakan pertemuan tersebut untuk membincangkan hal-hal pentadbiran.

    Beliau turut memberitahu bahawa PRK Semenyih berbeza dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana faktor parti yang bertanding.

    "Cuma lainnya Semenyih ini lain daripada Cameron. Di Cameron PAS lawan DAP.

    "Di Semenyih ini, bukan (nak cakap) perkauman, tapi pertembungan antara Melayu dengan Melayu," jelasnya.

    Ketika ditanya PAS akan membantu kempen BN di Semenyih, Abdul Hadi menjawab: "Itu akan kita lihat."

    Menyentuh kenyataan Hadi, Shazny menegaskan hukum mengundi PAS sentiasa berubah berdasarkan kepentingan politik.

    "Dalam hal ini rakyat boleh menilai tentang sikap dan kaedah PAS berpolitik. Hukum mengundi sesebuah parti akan berubah-ubah berdasarkan kepentingan politik mereka," tambahnya lagi.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih