malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mustahil PAS tak sokong Umno, kata naib presidennya
ADS

Naib presiden PAS Iskandar Samad meragui dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa parti Islam itu tidak menyokong Umno susulan pertemuan perdana menteri itu dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Iskandar berkata, beliau tidak tahu secara terpeinci mengenai butiran perbincangan itu.

Namun, katanya pimpinan tertinggi PAS telah mengarahkan penyokong parti itu agar menyokong calon BN, Zakaria Hanafi pada pilihan raya kecil DUN Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac ini.

"Saya tidak tahu isi pertemuan presiden dan Tun M tetapi arahan yang diterima untuk PAS sokong calon BN.

"Kami dah bentuk jawatan kuasa pilihan raya bersama di peringkat daerah mengundi. Mustahil tidak sokong," katanya melalui pesanan ringkas kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu hari ini, Mahathir berkata dalam pertemuan semalam Abdul Hadi memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno.

Ditemui di Petaling Jaya hari ini Mahathir berkata PAS tidak akan menyokong Umno lagi dan perkara itu turut dinyatakan dalam perjanjian bertulis, tanpa menghuraikan lebih lanjut.

Sementara itu Iskandar berkata dua naib presiden dan setiausaha agung PAS akan turun ke Semenyih untuk menyatakan sokongan terhadap BN hari ini.

"Hari ni dua naib presiden dan setiausaha agung turun, jadi mestilah sokong," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut menghadiri pertemuan semalam di pejabat Mahathir, Yayasan al-Bukhari di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu diadakan sehari sebelum penamaan calon bagi PRK Semenyih. 

Lihat Komen