malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Hadi janji PAS tak sokong Umno di Semenyih
ADS

Beberapa jam selepas pemimpin kanan PAS hadir memberi sokongan kepada Umno dan BN di Semenyih, maklumat baru didedahkan Dr Mahathir Mohamad agak mengejutkan.

Menurut perdana menteri, dalam pertemuan beliau dengan Presiden PAS semalam Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno.

Ditemui di Petaling Jaya hari ini Mahathir mendakwa pada asasnya beliau dan Abdul Hadi berbincang mengenai politik semalam.

Ditanya mengenai butiran lanjut, Mahathir berkata PAS tidak akan menyokong Umno lagi.

"Tak akan menyokong Umno, tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi PAS, termasuk Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut menghadiri pertemuan semalam, bagi mendapatkan pengesahan.

Semalam Abdul Hadi hadir di pejabat Mahathir di Yayasan al-Bukhari di Kuala Lumpur untuk mengadakan kali kedua dengan pengerusi PH itu.

Ia berlaku sehari sebelum penamaan calon bagi PRK Semenyih di Kajang.

Semenyih tak sama Cameron

Tidak banyak maklumat didedahkan mengenai pertemuan tersebut. Namun ketika ditemui media di Alor Limbat, Terengganu semalam Abdul Hadi menyatakan pertemuan tersebut untuk membincangkan hal-hal pentadbiran.

"Lebih bincang penyelarasan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

"Isu Majlis Tindakan Ekonomi Negara, projek-projek ada di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya tiada percanggahan," katanya.

 

Abdul Hadi juga mengesahkan kerajaan persekutuan sudah membayar royalti minyak kepada kerajaan Terengganu. 

Pertemuan semalam diadakan ekoran permohonan daripada Abdul Hadi.

Semasa ditanya di Alor Limbat sama ada Abdul Hadi membincangkan isu PRK Semenyih, anggota parlimen Marang itu berkata: "Semenyih, nama calon pun tak ada lagi. Secara umumnya seperti yang kita tahu, Semenyih tak sama dengan Cameron (Highlands).

"Cameron ni, PAS lawan DAP. Semenyih ni kita lawan bukan perkauman, (tapi) Melayu dengan Melayu dan kita serah kepada kebijaksanaan pengundi di situ, dan keperluan melihat kepentingan Melayu dan Islam."

Abdul Hadi juga menambah PAS akan melihat keadaan sama ada akan membantu BN selepas mendapat maklumat terperinci daripada PAS Selangor.

"Apa yang penting, kita mahu kedudukan orang Melayu dan Islam kuat," katanya.

Ditanya mengenai isu calon pembangkang, Abdul Hadi menjawab: "Soal calon kita tak ada hak sebab kita dah tarik diri dengan tidak bertanding."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen