Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa nyaris dipelangkung sekumpulan individu yang dipercayai penyokong BN pagi tadi.
Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Ahmad Redzuan Mohamed Shafi yang berada di samping Syed Saddiq ketika kejadian membuat dakwaan tersebut.
"Ada empat orang, YB, pegawai keselamatannya, setiausaha politik dan saya sedang berjalan ke arah kereta dari pusat penamaan.
"Kemudian, penyokong BN mula memprovokasi kami dari jauh," katanya kepada Malaysiakini.
Redzuan mendakwa penyokong berbaju biru itu mula bersikap kasar dan memaki hamun Saddiq, selanjutnya hampir-hampir menjadi satu serangan fizikal.
"Terdapat sekumpulan empat orang menjadi ganas dan cuba merempuh ke arah YB.
"Mujurlah anggota polis yang ada di sekitar berjaya mengawal keadaan," katanya.
Dicaci "babi, bangsat, hancing"
Kinitv dapat merakam kejadian itu yang menunjukkan beberapa anggota polis trafik mengiringi Saddiq ke keretanya manakala sekumpulan penyokong BN mengekori mereka dari belakang.
Sementara itu, Syed Saddiq dalam suatu kenyataan berkata akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
"Nak caci saya "babi, bangsat, bodoh, hancing" saya tetap akan hormati, kerana itu hak saudara.
"Tetapi kalau sampai nak guna serangan fizikal, ini dah melampau!
"Sedih saya lihat budaya gangsterisme yang menular di kalangan masyarakat kita," katanya lagi.
Saddiq menjelaskan beliau tidak menggunakan pemandu hari ini kerana tidak hadir sebagai seorang menteri.
"Dalam perjalan nak ke kereta, saya diserang oleh penyokong penyokong BN. Bila dimaki, saya hanya beri salam dan terus bergerak ke hadapan tetapi mereka kejar saya.
"Bila diserbu, pihak polis yang berdekatan datang bantu. Unit Amal (PAS) yang nampak insiden pun datang untuk bantu," katanya.
Beliau beterima kasih kepada anggota polis dan Unit Amal PAS kerana melindunginya daripada diserang.
"Saya terhutang budi kepada pihak Polis dan Unit Amal yang berdekatan. Tanpa mereka, saya tidak tahu apa akan jadi pada saya sekarang," jelasnya lagi.
Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan mengenai kejadian itu berkata polis sedang menyiasat kes itu.
[Baca berita penuh]