malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada tindakan sebab hakim dah bersara - Pejabat CJ
Diterbitkan:  Feb 15, 2019 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM
ADS

Seorang bekas hakim kanan yang didakwa salah laku dengan campur tangan dalam kehakiman tidak dikenakan tindakan kerana beliau telah bersara, maklum Pejabat Ketua Hakim Negara.

"Hakim kanan berkenaan telah bersara jadi tiada tindakan boleh diambil di bawah Kod Etika Hakim 2009 yang dibaca bersama Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010," kata kenyataan pejabat itu dalam afidavit balas yang difailkan pada Isnin lalu.

Pejabat CJ juga menjelaskan terdapat perakuan berbeza diberikan berhubung dakwaan tindakan tegas oleh bekas hakim kanan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer kerana menulis penghakiman yang menentang dalam kes Indira Gandhi.

Afidavit yang disahkan oleh pegawai khas kepada ketua hakim negara, Mohd Aizuddin Zolkeply itu menjawab permohonan peguam Sangeet Kaur Deo.

Sangeet memohon mahkamah untuk mengisytiharkan ketua hakim negara gagal mempertahankan keutuhan dan kewibawaan badan kehakiman membabitkan dua kejadian mengenai dakwaan campur tangan dalam kehakiman.

Pejabat Ketua Hakim Negara turut membuat kenyataan serupa pada November lalu, berikutan pelancaran siasatan terhadap tuduhan Hamid.

Hakim Mahkamah Rayuan itu mengulangi tuduhannya dalam afidavit yang menyokong Sangeet yang difailkan semalam.

Dalam afidavit itu, Hamid mendakwa Malanjum enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan salah laku kehakiman.

Sementara itu dalam afidavit balas Pejabat Ketua Hakim Negara, ia juga menjelaskan siasatan dalaman terhadap campur tangan kehakiman dalam kes hasutan Karpal Singh telah digantung memandangkan siasatan polis mengenai kes itu sedang berjalan.

Dalam afidavitnya semalam, Hamid mendakwa hakim tertinggi yang digelar "ARLC": mengganggu keputusan majoriti yang pada mulanya membebaskan pengerusi kebangsaan DAP, mendiang Karpal Singh daripada pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Lihat Komen