malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno: Dengan MTE, usah salahkan BN lagi
Diterbitkan:  Feb 12, 2019 11:18 PM
Dikemaskini: 3:18 PM
ADS

Umno berkata penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi perlu digunakan untuk mengatasi kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani masalah ekonomi negara dan bukan untuk sekali lagi menyalahkan pentadbiran lalu.

Menerusi kenyataan Jabatan Penerangan Umno, parti itu berkata kemelesetan ekonomi dunia terus dijadikan "helah politik" terhadap kenaikan harga barang dan penyusutan nilai ringgit.

"Majlis Tindakan Ekonomi Negara ini wajar digunakan untuk mencari formula baru bagi mengatasi kelemahan sendiri dan bukannya dengan meletakkan kesalahan itu pada orang lain."

"Usahlah menggunakan majlis ini sebagai modal menutup kelemahan sendiri, misalnya dengan terus menyalahkan kerajaan terdahulu yang kononnya tidak memberi sumbangan langsung terhadap sistem kewangan negara," kata Umno.

Terdahulu, kerajaan beberapa kali membangkitkan masalah yang dihadapi susulan skandal 1MDB dan hutang negara yang dikumpul ketika pentadbiran BN.

Antaranya Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang berkata kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan keadaan kewangan negara akibat masalah itu.

Umno juga mempersoalkan kemampuan kerajaan, terutama jemaah menteri, sehingga perlu menubuhkan majlis itu.

"Kenapa perdana menteri, yang memiliki pengalaman 22 tahun mentadbir negara, gagal mengenal pasti kelemahan serta kekangan ekonomi yang kita hadapi.

"Di mana sebenarnya kewarasan pentadbiran ekonomi di bawah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan penasihatnya yang dikatakan memiliki ilmu yang tinggi di bidang ini?" soalnya lagi.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dianggotai 16 individu, antaranya bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan bekas Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz.

Majlis itu susulan maklum balas rakyat berhubung masalah ekonomi yang dihadapi, dan akan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

Lihat Komen