malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pasukan inkues kes Adib lawat lokasi rusuhan kuil
ADS

INKUES ADIB | Panel inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini mengunjungi kawasan sekitar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya yang merupakan lokasi rusuhan Nov lalu.

Pasukan panel berkenaan diketuai koroner Rofiah Mohamad, pegawai penyelaras inkues Hamdan Hamzah dan pasukan guaman bagi semua pihak terlibat dalam kes itu.

Pasukan inkues juga disertai tiga saksi yang sudah memberi keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam semalam.

Tiga saksi itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Trafik Subang Jaya, DSP Mohamad Nasir Drahman, anggota bomba yang memandu lori bomba ketika kejadian Md Eliza Mohd Noor dan Ahmad Shahril Othman yang merupakan pemandu van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki arwah.

Ketiga-tiga mereka membawa pasukan inkues ke beberapa lokasi yang disebutkan dalam keterangan kesaksian mereka, bermula dari lokasi pinggir jalan berhampiran kuil tempat kereta kedua dibakar pada rusuhan awal pagi itu.

Ketika kejadian pada 27 Nov itu, pasukan bomba timba di lokasi pada pukul 1.12 pagi selepas menerima panggilan telefon untuk memadam api kereta yang dibakar perusuh.

Eliza dan Shahril semalam menceritakan semula situasi ketika tiba di lokasi kejadian dan diserang sekumpulan individu yang menyebabkan mereka terpaksa berundur sepanjang Jalan Usaha USH16 dan seterusnya menuju ke balai polis USJ8.

Inkues juga semalam dimaklumkan Muhammad Adib berada di dalam van EMRS ketika kekacauan terjadi namun tidak dapat dikesan sebaik kenderaan yang dinaikinya tiba di balai polis.

"Jadi bila Muhammad Adib keluar dari van? Saya sangat ingin tahu," soal peguam Syazlin Mansor kepada Shahril.

Bagaimanapun, Syazlin diingatkan bahawa maklumat berkenaan belum didedahkan kepada inkues pada hari pertama, semalam.

Pasukan inkues kemudian meneruskan kunjungan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya di SS17 untuk melihat lori bomba dan van EMRS yang terlibat dalam kejadian.

Panel meneliti bahagian dalam dan luar kedua-dua kenderaan berkenaan yang terdapat kesan kerosakan yang ketara.

Inkues bersambung di mahkamah koroner petang ini.

Lihat Komen