malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Annuar: Tiada keperluan teruskan dasar macam DEB
Diterbitkan:  Feb 12, 2019 11:07 AM
Dikemaskini: 3:07 AM
ADS

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, tiada keperluan untuk memperkenalkan semula dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) "semata-mata untuk orang Melayu" sahaja.

Sebaliknya, kata MP Ketereh dasar negara mestilah memberi manfaat kepada semua kaum kerana memang menjadi tugas kerajaan untuk membantu golongan miskin tanpa mengira etnik mereka.

"Kami tidak boleh membuat keputusan atau membuat dasar semata-mata berasaskan sama ada anda Melayu atau Cina atau mana-mana bangsa anda.

"Jika kami mempunyai orang India yang miskin atau orang Cina yang susah, memang menjadi tugas kerajaan untuk memberi bantuan," katanya dalam temu bual dengan The Malay Mail.

Setiausaha agung Umno juga bekata BN tidak akan membawa kembali DEB atau dasar yang serupa jika mereka mendapat peluang lain untuk untuk memerintah kerajaan persekutuan.

Melayu elit dapat manfaat

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan, yang menyeru pendekatan berasaskan keperluan dalam membantu masyarakat bumiputera yang kurang bernasib baik.

Sharil berkata orang Melayu elit telah mendapat manfaar daripada inisiatif kerajaan berkenaan.

DEB memperkenalkan tindakan afirmatif berasaskan kaum selepas rusuhan 1969 yang bertujuan merapatkan jurang kekayaan antara masyarakat dan membantu kaum bumiputera. Ia tamat pada tahun 1991, tetapi unsur-unsur penting DEB masih diteruskan dalam dasar ekonomi berikutnya.

Menjelaskan lebih lanjut Annuar juga berkata adalah tidak adil jika bantuan kerajaan yang sangat diperlukan hanya disalurkan kepada orang Melayu yang kaya sambil merampas hak orang lain.

"Jadi saya agak bersetuju dengan Shahril. Orang Melayu yang kaya misalnya, anda tidak boleh mengambil hak orang lain. Hanya semata-mata kerana anda seorang Melayu, maka anda mesti mendapat lebih banyak bantuan.

"Jika anda berbuat demikian dengan mengorbankan hak orang India yang miskin atau orang Cina miskin, itu tidak adil," jelasnya.

Bagaimanapun, Annuar mengakui masih ramai orang Melayu yang masih miskin dan memerlukan bantuan.

"Masih terdapat banyak orang miskin yang perlu dibantu, tetapi seperti apa yang saya katakan, anda tidak boleh mempunyai dasar hanya untuk orang Melayu.

"Anda mesti mempunyai dasar berdasarkan keperluan," katanya menjelaskan dengan cara ini setiap segmen masyarakat akan merasa bahawa mereka sedang dijaga.

Para pemimpin Pakatan Harapan telah membuat gesaan serupa pada masa lalu supaya negara menggubal dasar yang berasaskan keperluan dan tidak berasaskan kaum untuk membantu golongan miskin di negara ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada September tahun lalu berkata DEB yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini gagal mencapai matlamat akibat sikap kaum Bumiputera sendiri yang gemar mengejar keuntungan dengan cara mudah.

"DEB tidak mencapai matlamat seperti yang kita jangka. Kita (kerajaan) cuba sedaya-upaya tapi kita dapati tabiat nak mendapatkan keuntungan cepat buat mereka tidak berjaya.

"Yang berjaya adalah bukan Bumiputera. Kalau faham apa yang saya kata," katanya.

Lihat Komen