malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahfuz tegur wartawan buat laporan tak turun lokasi, jumpa sumber
Diterbitkan:  Feb 12, 2019 8:39 AM
Dikemaskini: 12:39 AM
ADS

Pengamal media perlu mengelak daripada sekadar mengamalkan sikap 'armchair reporting' bagi menyampaikan berita lebih tepat kepada masyarakat, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar.

Katanya, laporan tidak tepat, lebih-lebih lagi yang tidak benar akan menyebabkan masyarakat berada dalam situasi tidak tenteram dan selamat.

"Wartawan adalah golongan berilmu dan seharusnya membantu kerajaan menyampaikan maklumat benar dan tepat. Sebagai golongan berpengalaman, wartawan mempunyai tanggungjawab terhadap negara," katanya dalam ucapan ringkas pada majlis jamuan malam bagi meraikan kakitangan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Perlis dan pengamal media di negeri ini, di Kuala Perlis, malam tadi.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis, Noor Azam Karap, Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) JTKSM, Paeza Binti Rosdi.

Istilah ‘armchair reporting’ merujuk kepada laporan berita yang dihasilkan oleh wartawan daripada bilik berita tanpa turun ke lokasi atau berjumpa dengan sumber secara berdepan.

Dakwa Mahfuz, terdapat mereka yang menceburi bidang kewartawanan hanya kerana minat dan tidak mempunyai asas kewartawanan yang menyebabkan banyak laporan mereka lebih bersifat untuk mensensasikan berita.

"Hendak tegur pemimpin boleh, tidak salah tetapi mesti dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab supaya rakyat tidak menjadi mangsa penyebaran berita atau maklumat kurang tepat," katanya.

Sebaliknya, beliau menyarankan pengamal media membantu kerajaan dalam memacu negara antara lain dengan menyebar luas program bantuan kerajaan, agar segala bentuk maklumat mengenainya sampai kepada rakyat.

- Bernama

Lihat Komen