malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Budak perempuan dibunuh mangsa dendam, bukan penjualan organ'
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM
ADS

Dendam terhadap keluarga mangsa dipercayai menjadi punca pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan, Sabtu lepas, kata polis.

Siti Masitah Ibrahim, 11, dipercayai dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dia dilapor hilang 30 Jan lepas dan mayatnya ditemui dalam keadaan tragis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nayan berkata, polis menahan seorang lelaki Kemboja berusia 23 tahun pada 31 Jan selepas menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak berketurunan Kemboja itu.

“Lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu merupakan kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung. Pada awal soal siasat suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan kanak-kanak itu tetapi setelah mayat ditemui, suspek mendedahkan penglibatannya berkait kehilangan mangsa.

"Hasil pengakuan awal suspek, polis merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya dalam kenyatan kepada media hari ini.

Othman berkata hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat 'probable head injury' dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri dan bahagian atas tengkorak sebelah kiri dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

"Saya ingin menafikan penularan berita yang tidak berasas bahawa terdapat kehilangan organ-organ badan mayat berkenaan yang kononnnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia. Kami tidak menolak kemungkinan keadaan mayat yang tidak sempurna itu boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang," katanya.

'Suspek ditahan hari sama'

Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan polis lewat mengambil tindakan mengesan kanak-kanak berkenaan kerana tangkapan dan soal siasat terhadap suspek dibuat sejurus selepas menerima laporan kehilangan mangsa pada 11 malam 30 Jan lalu.

Mayat Siti Masitah yang berketurunan Kemboja ditemukan pada kira-kira pukul 4.00 petang Sabtu lalu oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan berkenaan.

Semasa ditemui, mayat dalam keadaan tertiarap dan hampir reput dengan tangan diiikat dari belakang menyebkan timbul spekulasi kanak-kanak itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Ibunya Zaleha Abdullah, 35, sebelum ini memaklumkan anaknya kali terakhir dilihat pada pukul lima petang 30 Jan lalu, ketika meminta wang RM1 daripadanya untuk ke kedai berhampiraan, tetapi anak ketiga daripada empat beradik itu tidak pulang ke rumah selepas itu menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

Suspek kemudian ditahan pada kira-kira pukul 2.00 pagi 31 Jan di simpang masuk ke Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan selepas ada saksi mendakwa melihat Siti Masitah membonceng motosikal yang ditunggang lelaki itu pada hari dia dilaporkan hilang.

-Bernama

Lihat Komen