Pengiklanan

    Polis temui bom, pistol dalam makmal dadah


    (Dikemaskini )

    Sebuah rumah yang pernah diserbu polis di Bukit Mertajam Disember lepas kerana disyaki dijadikan makmal dadah, sekali lagi diserbu semalam dan hasilnya membolehkan penemuan dua pucuk pistol, sebutir bom tangan serta 349 butir peluru hidup.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini berkata serbuan yang dibuat di rumah dua tingkat kira-kira pukul 2.30 petang itu bagaimanapun gagal menghasilkan sebarang tangkapan.

    “Dalam serbuan kali ini, pasukan polis turut melibatkan unit anjing pengesan yang membawa kepada penemuan sebutir bom tangan yang disembunyikan di dalam bahagian kepala katil, sebelum unit pemusnah bom membawa keluar bom yang masih aktif itu,” katanya di Bukit Mertajam.

    Pemeriksaan lanjut di bahagian kepala katil itu juga membolehkan polis menemui sepucuk pistol jenis Magnum Smith & Wesson Revolver berwarna krom, sepucuk pistol buatan sendiri dan 349 butir peluru hidup.

    “Kami percaya bom, senjata api dan peluru yang dirampas itu digunakan sindiket memproses dan mengedar dadah yang menyewa rumah ini untuk melindungi kegiatan mereka sekiranya diserang,” katanya.

    Nik Ros Azhan berkata rumah itu diserbu kali pertama pada 2 Dis lepas selepas polis mendapat maklumat ia disewa oleh seorang lelaki berumur 42 tahun yang menjadikan premis itu sebagai tempat untuk memproses dadah sebelum diedarkan.

    Dalam serbuan pertama itu polis telah merampas 20,470 biji pil ekstasi dianggarkan bernilai RM716,450 dan lebih 15 kilogram serbuk kafein bernilai RM2,850, selain pelbagai peralatan makmal serta bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

    Polis kini giat menjejak suspek pengedar ini yang dipercayai masih bersembunyi di Pulau Pinang.

    "Identiti suspek sudah kami kenal pasti dan dia mempunyai 16 rekod jenayah lampau,” katanya.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih