malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Semenyih perlu ditangguh, kata bekas timb pengerusi SPR
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 5:30 PM
Dikemaskini: 9:31 AM
ADS

Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar berpandangan bahawa pilihan raya kecil (PRK) Semenyih perlu ditangguhkan memandangkan ia kini hanya mempunyai seorang pesuruhjaya.

Bercakap kepada The Star, beliau menggesa agar perkara itu diberi perhatian.

"Kesahihan SPR perlu disahkan atau ia akan memberikan contoh yang buruk," katanya dipetik sebagai berkata.

Artikel 114 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan agar SPR terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima ahli.

"Tapi ketika ini SPR hanya mempunyai seorang pengerusi.

"Sebelum ini, mesyuarat tidak akan diadakan jika tidak cukup korum sekurang-kurangnya empat ahli hadir," katanya.

Wan Ahmad menjadi timbalan pengerusi SPR dari 2004 sehingga bersara pada 2013, dan bekerja di bawah SPR selama 16 tahun.

SPR ketika ini hanya terdiri daripada seorang pengerusi iaitu Azhar Harun.

Timbalan pengerusi SPR yang terakhir iaitu Othman Mahmood dan empat pesuruhjaya lain - Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Leo Chong Cheong, and K Bala Singam - meletakkan jawatan 31 Dis lalu.

 

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menyorot kes pengundi Semenyih mempersoalkan kesahihan SPR dan memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap PRK yang akan diadakan 2 Mac ini.

"Mahkamah perlu terlebih dulu membuat keputusan berhubung kesahihan SPR yang cuma terdiri daripada pengerusi," katanya.

Azhar sebelum ini menegaskan bahawa SPR beroperasi menurut undang-undang dan memetik Jadual Kesebelas, Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kuasa badan atau suruhanjaya tidak seharusnya dijejaskan oleh kekosongan anggota.

"Ini Perlembagaan Persekutuan, bukan undang-undang biasa, dan kita (SPR) beroperasi di bawah peruntukan perlembagaan," kata Azhar.

Mengulas kenyataan itu hari ini, Wan Ahmad bagaimanapun tidak bersetuju.

"SPR melantik semua pegawai termasuk setiausaha, pengurus dan pembantu pengurus untuk mengendalikan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

"Secara logiknya, SPR tidak terdiri daripada seorang individu sahaja. Sekiranya seorang individu dibenarkan berfungsi sebagai suruhanjaya, untuk apa undang-undang menyatakan secara spesifik jumlah anggota?" katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen