Pengiklanan

    'Kamera AES perkara baik dibuat k'jaan lalu, kami takkan buang'

    (Dikemaskini )

    Segala perkara baik dibuat kerajaan lalu tidak akan 'dibuang' oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk pelaksanaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kata seorang pemimpin Amanah.

    Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus, berkata kesemua perkara baik itu akan dinilai dan diproses semula untuk manfaat masyarakat serta kepentingan negara.

    “Apa kerajaan lalu buat dulu yang baik kami tak akan buang, takkan alat yang sudah beli dulu kami nak buang, letak dalam setor? Kami memproses, melihat balik dan ia boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negara.

    “Ada pun ada orang marah dulu cakap lain sekarang cakap lain, kami cakap here and now,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melawat tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi, Semenyih hari ini.

    Pada 8 Feb lalu, Hasanuddin menerusi akaun Facebook beliau berkata pemasangan kamera AES dan saman jalan raya menepati maqasid syariah yang bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang kenderaan.

    Kenyatannya itu bagaimanapun mengundang kritikan keras oleh pengguna media sosial terutama mereka yang beragama Islam kerana disifatkan seperti menggunakan agama bagi tujuan politik.

    Dalam perkembangan sama, Hasanuddin berkata, dunia sentiasa berubah namun kepentingan negara menjadi asas dan keutamaan kerajaan PH.

    Tambahnya, PH juga kini merupakan sebuah kerajaan dan tidak lagi boleh bersikap seperti pembangkang.

    “Orang nak marah, saya mohon banyak maaf tapi kami lihat pada situasi hari ini dan sekarang, bukan dulu,” katanya.