Pengiklanan

    Rosmah mohon gantung prosiding kes saman tukang emas Lubnan

    (Dikemaskini )

    Permohonan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor bagi menggantung prosiding kes saman sebuah syarikat dari Lubnan terhadapnya akan didengar pada 25 Februari depan.

    Saman berkenaaan difailkan Global Royalty Trading SAL selaku pihak plaintif tahun lalu bagi menuntutnya memulangkan semua unit barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

    Peguam N Rajivan yang mewakili Rosmah berkata, tindakan tersebut diambil memandangkan sehingga hari ini kerajaan masih gagal untuk mengesahkan status 44 unit barang kemas itu sama ada berada pada pihak polis ataupun pada isteri bekas perdana menteri itu.

    "Pihak kami akan failkan permohonan bagi menggantung prosiding sehingga tempoh sitaan tamat. Kami akan failkan sebelum 25 Feb ini," katanya selepas pengurusan kes itu di kamar Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin hari ini.

    Rajivan berkata pihaknya percaya bahawa tempoh sitaan akan tamat pada Mei ini. Selain Rajivan, Rosmah turut diwakili peguam Reza Rahim.

    Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi mengetahui status 44 unit barang kemas itu sama ada berada pada pihak polis ataupun Rosmah.

    Peguam Datuk G David yang bertindak bagi syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berkata mahkamah juga memerintahkan pihak kerajaan selaku defendan kedua dalam saman tersebut untuk memfailkan penyataan pembelaan.

    Pada 20 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu dan dinamakan sebagai defendan kedua.

    Peguam itu berkata tarikh perbicaraan untuk kes tersebut juga telah ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini.

    Pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

    Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Rosmah telah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga.

    Syarikat itu yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan, dan dalam keadaan tertentu Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

    Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, ia telah menghantar 44 set barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

    Syarikat itu berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas tersebut.

    Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia.

    Firma itu mendakwa bahawa sepanjang masa material, plaintif adalah pemilik barang kemas tersebut dan pemilikan tersebut tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

    Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

    Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, AS$14.79 juta (RM59.83 juta ).

    Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai 2018 menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.


    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih