malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tak boikot tapi Akmal kena perbaiki sebagai ketua'
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 3:33 PM
Dikemaskini: 7:39 AM
ADS

Bekas timbalan ketua pemuda PKR (AMK) Dr Afif Bahardin menolak dakwaan beliau cuba memboikot ketua pemuda parti itu yang baru, Akmal Nasir.

Afif mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana hanya memegang jawatan sebagai timbalan ketua cabang Permatang Pauh.

"Saya tidak mampu menerajui langkah itu kerana saya tidak mempunyai kuasa atau kedudukan untuk melakukannya. Saya hanya ahli biasa dan timbalan ketua cabang Permatang Pauh," kata Afif kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Afif berkata tugas menyatukan ahli adalah tanggungjawab Akmal dan ia merupakan cabaran yang harus dihadapinya sebagai ketua pemuda untuk bekerjasama dengan akar umbi.

Jelasnya beliau masih menghadiri mesyuarat cabang PKR dan minggu lalu bertemu anggota AMK Pulau Pinang untuk memberi jaminan akan memberikan sokongan padu kepada sayap parti itu.

"Semasa saya menjalankan tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri di Pulau Pinang, saya melibatkan diri dengan ahli-ahli parti terutamanya sayap pemuda untuk melihat program di bawah pejabat saya dilaksanakan dengan anak-anak muda," katanya.

Afif menafikan laporan The Malaysian Insight hari ini yang mendakwa sesetengah penyokong enggan bekerjasama dengan pimpinan sayap pemuda.

Portal berita itu memetik sumber mengatakan "Mereka mahu memprotes (kemenangan Akmal) dan tidak dapat menerima kekalahan Afif.

Portal berita itu merujuk kepada konflik berterusan antara timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan naib presidennya, Rafizi Ramli sejak pemilihan parti itu tahun lalu.

Dalam pemilihan itu, Akmal yang dilihat bersama kumpulan Rafizi menewaskan Afif dari kem Azmin dalam pertandingan merebut jawatan ketua AMK.

Akmal menang dengan perbezaan 47 undi. 

Ditanya mengenai sokongan yang lemah terhadap Akmal di kalangan anggota AMK, Afif berkata berdasarkan penglibatannya dengan pemimpin AMK, ramai menyatakan keluhan terhadap kepimpinan Akmal.

"Saya mendengar dakwaan bahawa Akmal hanya melantik sekutu rapatnya yang tidak mempunyai sokongan kepimpinan akar umbi di peringkat negeri.

"Akmal mengabaikan hasrat majoriti dan enggan berbincang perkara-perkara ini dengan jawatankuasa pusat yang dipilih oleh majoriti akar umbi terutama apabila kumpulan saya menang 80 peratus jawatan dalam sayap pemuda.

"Saya menerima keputusan pemilihan demi imej parti, tetapi Akmal harus memperbaiki diri sebagai ketua dan dapat bekerja dengan semua pihak dan menerima kritikan. Itu semangat sejati reformasi dan demokrasi," katanya.

Lihat Komen