malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes dana RM90 juta: Siapapun terlibat akan dipanggil, kata SPRM
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 3:12 PM
Dikemaskini: 7:20 AM
ADS

Menurut sumber, siasatan akan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi sambil menegaskan siapa pun yang terlibat akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata tugas SPRM adalah untuk mengenal pasti sama ada berlaku kemasukan duit ke akaun terbabit.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi individu tertentu akan dipanggil atau tidak… kerana rasuah ini bukan melibatkan spekulasi atau pun jangkaan. Ia lebih kepada fakta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Abang Johari Openg di Kuching, hari ini.

SPRM sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung wang RM90 juta disyaki dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.

Jumaat lepas, anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di Ibu Pejabat SPRM Kelantan bagi memberi keterangan berhubung siasatan mengenai dana sebanyak RM90 juta daripada 1MDB itu.

Menurut sumber, siasatan akan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, artikel oleh Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

- Bernama

Lihat Komen