malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jentera bomba dibaling objek keras - Saksi
Diterbitkan:  Feb 11, 2019 3:04 PM
Dikemaskini: 7:11 AM
ADS

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam yang bermula hari ini menyaksikan anggota polis yang menerima laporan mengenai kejadian kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November tahun lepas, menjadi antara saksi awal memberi keterangan.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya DSP Mohamad Nasir Drahman berkata Jentera Fire Rescue Tender (FRT - trak bomba) yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang, November lalu, dikelilingi orang ramai dan dibaling dengan objek keras sehingga pecah cermin hadapan.

Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum ke hadapan dan kembali mengundur, mengundur hingga hilang daripada penglihatan saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Inkues dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner. 

Mohamad Nasir berkata di lokasi kejadian, seramai 3,000 ke 5,000 individu berkumpul di kuil berkenaan.

Tujuh saksi dalam masa terdekat

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas, dan menghembuskan nafas terakhir di Insttut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah yang terlibat dalam inkues itu berkata selain Mohamad Nasir, dua saksi lain yang dijangka turut memberi keterangan hari ini adalah anggota bomba yang memandu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera pemadam api FRT.

“Sehingga kini pihak kami menyenaraikan tujuh saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum prosiding bermula.

Dalam pada itu, Zhafran berkata permohonan 50 penganut agama Hindu dan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield untuk menjadi pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding inkues ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini pada minggu lepas.

Jentera bomba diserang

Tinjauan Bernama di luar mahkamah mendapati beberapa saksi antaranya beberapa anggota bomba dan seorang lelaki dipercayai abang Muhammad Adib tiba di mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi.

Mohamad Nasir dalam keterangannya berkata beliau berada sekitar 80 atau 100 meter dari lokasi semasa jentera itu diserang selama antara 10 dan 15 saat, sebelum kumpulan penyerang itu meninggalkan lokasi.

Katanya beliau hanya melihat jentera bomba itu diserang, dan bukannya anggota bomba dipukul atau dicederakan seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau juga berkata selepas serangan, kumpulan itu kemudian menuju ke arah pejabat pemaju, One City, yang terletak kira-kira 500 meter dari kuil.

Seorang lagi saksi, Md Elliza Mohd Noor, pemandu jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berkata setibanya di lokasi, mereka mendapati sekumpulan orang menjerit-jerit, menghalang mereka daripada memadamkan kebakaran, yang menyebabkan penyelia bertugas mengarahkan mereka supaya tidak keluar dari jentera itu.

"Tak sampai lima hingga 10 saat, saya dapati ketukan pertama di cermin depan dan diikuti balingan objek seperti batu-bata dan helmet. Saya dapat lihat dua atau tiga orang awam berlari di sebelah kiri jentera saya ke arah belakang dan saya tak tahu untuk tujuan apa," katanya.

Prosiding inkues kemudiannya ditangguh sehingga 2.15 petang.

- Bernama

Lihat Komen