malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng berhak saman pihak pertikai kelayakannya - Tony Pua
ADS

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhak memulakan tindakan saman fitnah terhadap sesiapa yang mempertikaikan kelayakannya sebagai akauntan, kata setiausaha politiknya Tony Pua hari ini.

Pada satu sidang akhbar, anggota parlimen Damansara juga menegaskan setiausaha agung DAP telah tamat pengajian dan lulus semua peperiksaan yang diperlukan untuk mendapatkan ijazah dan kelayakannya untuk menjadi akauntan bertauliah pada 1983.

Pua mengulas kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong baru-baru ini yang mempersoalkan bagaimana Lim menjadi akauntan bertauliah setahun sebelum beliau memperoleh ijazah.

Menurut Wee walaupun dinyatakan di laman web Lim bahawa beliau menjadi akauntan profesional yang bertauliah pada tahun 1983, carian di laman web Monash University menunjukkan Lim hanya mendapat Sarjana Ekonomi pada tahun 1984.

Menjawab dakwaan ini, Pua berkata Wee kelihatan tolol kerana tidak dapat melihat perkaitan bahawa kalender akademik Australia berakhir pada November sebelum cuti musim panas.

"Oleh itu, menjelang akhir tahun 1983, Lim telah melengkapkan pengajian dan lulus semua peperiksaan yang diperlukan untuk mendapatkan ijazah dan tauliah untuk menjadi akauntan.

Tamat pengajian dan dapat sijil rasmi

"Untuk maklumat Wee, Lim menerima 'Sijil Keanggotaan' beliau dalam Persatuan Akauntan Australia tiga bulan selepas lulus peperiksaannya pada 21 Februari 1984. Keahliannya diluluskan sebelum beliau menerima sijil ijazahnya pada 11 April 1984. Kedua-dua salinan sijil ini dilampirkan.

"Seseorang akan mengharapkan pemegang PHD (gelaran doktor falsasah) seperti Wee dapat membezakan antara seseorang yang berjaya menamatkan pengajian dari universiti dan mendapat sijil 'rasmi' yang boleh diterimanya boleh jadi dalam tempoh enam bulan atau bahkan setahun kemudian," jelas Pua pada sidang media.

Wee sebelum ini ingin tahu tentang bagaimana Lim, seorang siswazah Ekonomi, dikenalpasti sebagai akauntan bertauliah.

Memberi maklum balasnya, Pua berkata setiap universiti mempunyai peraturannya sendiri dalam menamakan ijazahnya

"Mempunyai ijazah Sarjana Muda Ekonomi tidak bermakna Lim tidak belajar perakaunan (atau beliau tidak layak untuk menjadi anggota Persatuan Akauntan Australia). 

"Beberapa institusi pengajian menyediakan program perakaunan sebagai 'Sarjana Perdagangan' dan lain-lain," jelasnya.

Menurut Pua lagi, universiti Oxford dan Cambridge hanya memberikan 'Sarjana Sastera' (Bachelor of Arts - BA) kepada graduan tanpa mengira subjek pengajian. 

"Ini bererti sama ada anda lulus dalam jurusan undang-undang atau fizik atau ekonomi, anda akan mendapat BA (Hons)," kata Pua.

Ditanya jika Lim sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mempersoalkan kelayakannya, Pua berkata terdapat kemungkinan itu dan menteri berhak untuk berbuat demikian.

Pua juga menggesa Wee untuk menjelaskan sejauh mana penglibatan MCA dalam skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen