malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan kemuka minit mesyuarat FGV beli kondo didengar 12 Apr
ADS

Bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad menuntut FGV Holdings Bhd mengemukakan dokumen minit mesyuarat yang menyentuh tentang pembelian dua unit kondominium mewaj Troika.

Bagaimanapun, FGV Holdings dikatakan membantah permohonan Mohd Isa itu yang dibuat pada 25 Jan lalu.

Justeru, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 12 April sebagai tarikh pendengaran permohonan penemuan di hadapan Hakim Azimah Omar.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Syuhada Ramli menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini.

Lavinia Kumaraendran yang merupakan peguam Mohd Isa mendedahkan bahawa anak guamnya turut memfailkan pembelaan pada Jumaat lalu berhubung kes itu, sementara bekas ketua pegawai eksekutif Felda Mohd Emir Mavani Abdullah dijadualkan berbuat demikian Rabu ini.

FGV Holdings, melalui kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 30 Nov tahun lalu berkata saman ke atas Mohd Isa dan Mavani adalah berhubung pembelian dua unit kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC dengan harga melebih harga pasaran.

FGV Holdings turut berkata saman berkenaan turut mempunyai kaitan dengan dakwaan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan petrol oleh Mohd Emir.

Saman itu menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan, selain faedah lima peratus setahun atas kerosakan bermula tarikh saman difailkan.

Lihat Komen