malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tak perlu remehkan hubungan Umno-PAS, kata Syed Saddiq
ADS

PRK SEMENYIH | Menjelang PRK DUN Semenyih, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa Pakatan Harapan (PH) agar tidak meremehkan hubungan Umno dengan PAS, sebaliknya memberi tumpuan dalam soal khidmat kepada rakyat.

Beliau berkata ini kerana rakyat sendiri ingin melihat PH yang kini mentadbir di peringkat persekutuan menjalankan tanggungjawabnya.

"Kami hormati jalinan antara Umno-PAS (tetapi) paling mustahak apa yang rakyat hendak lihat adalah PH terus berkhidmat kepada rakyat.

"Biar mereka (Umno dan PAS) buat apa yang mereka mahu, tak perlu remeh-temehkan mereka. Khidmat kepada rakyat (adalah) dasar PH," katanya dalam sidang media selepas program Kementerian Belia dan Sukan di Semenyih, hari ini.

Beliau yang juga menteri belia dan sukan diminta mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semalam, yang antara lain berkata PH akan menumpukan isu berkaitan Melayu-Islam yang menurutnya diputar belit pembangkang, dalam PRK itu.

"Pembangkang memutar belit isu Melayu-Islam seolah-olah PH tidak memperjuangkan hak Melayu. Ini salah. Kami akan ambil peluang untuk menjelaskannya secara terperinci," kata Muhyiddin.

Penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih adalah pada 16 Februari ini, manakala hari mengundi pada 2 Mac.

Ditanya sama ada program itu yang menyediakan tukar minyak hitam percuma untuk motosikal kepada penduduk di Semenyih merupakan 'dedak' kepada pengundi menjelang PRK, Syed Saddiq menafikannya dan berkata ia telah dirancang lama.

"Ada PRK atau tidak saya tetap turun. Dedak? Saya tak bagi wang, ini lebih kepada tanggungjawab pemimpin," katanya.

Berhubung calon yang akan diturunkan, Syed Saddiq berkata pemuda Bersatu ada memberikan nama tetapi menyerahkan kepada Muhyiddin selaku presiden untuk membuat keputusan.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, daripada Bersatu, pada 11 Januari lalu.

Lihat Komen