malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS: Selesai luar mahkamah tak bermakna mengaku
Diterbitkan:  Feb 9, 2019 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM
ADS

PAS berkata tindakan presidennya Abdul Hadi Awang untuk menyelesaikan saman terhadap Sarawak Report di luar mahkamah bukan bermakna mengaku terhadap isu yang dibangkitkan dalam saman itu - iaitu penerimaan dana RM90 juta daripada Umno.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau yakin Hadi mengambil langkah itu setelah mengambil kira kepentingan parti dan anggotanya.

"Setelah mendapat penjelasan lanjut dan terperinci serta meneliti kronologi kes ini, PAS menghormati dan menyambut baik serta menyokong penuh langkah penyelesaian di luar mahkamah.

"PAS juga percaya penyelesaian luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan (saman) ini sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan terhadap isu dan perkara yang berbangkit dalam kes ini, mahupun tohmahan berkaitan lain yang dibangkitkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam penyelesaian itu, kedua-dua pihak - Hadi dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown - masing-masing menarik balik tuntutan mereka.

Kedua-dua pihak juga tertakluk dengan kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian itu.

Susulan itu beberapa pihak, antaranya pemimpin Amanah menggesa PAS memberi penjelasan berhubung dakwaan menerima dana daripada Umno.

Semalam, dua pemimpin parti itu, iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasharudin Mat Isa, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu juga berpesan kepada anggota PAS agar "terus istiqamah dengan memberikan sepenuh wala' dan ketaatan tidak berbelah bahagi' kepada pimpinan parti.

"(Serta) sentiasa berfikir dan bertindak secara berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam ‘perangkap musuh’ yang sentiasa menanti," katanya lagi.

Pada April 2017, Hadi memfailkan saman terhadap Clare Rewcastle Brown selepas laman Sarawak Report menyiarkan artikel yang mendakwa sejumlah RM90 juta disalurkan ke akaun pemimpin PAS, dalam usaha bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan sokongan parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen