malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sistem AI kesan rasuah di China mungkin dihenti
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 8:47 PM
Dikemaskini: 1:43 PM
ADS

GLOBAL | Disebabkan terlalu efisyen, kepintaran buatan (AI) dari China, Zero Trust kemungkinan terpaksa dihentikan kerana beberapa pemerintah di negara itu tidak selesa dengan kewujudan sistem tersebut.

Sesetengah pentadbiran tempatan termasuk di daerah Mayang, bandar Huaihua dan daerah Li di Hunan telah menghentikan sistem tersebut.

Zero Trust dibangunkan dan diseliakan Akademi Sains China dan institusi kawalan dalaman Parti Komunis China untuk mengawasi, menilai atau campur tangan dalam urusan kerja dan peribadi pegawai kerajaan. 

Kepintaran buatan (AI) itu dapat mengakses lebih 150 pengkalan data yang dilindungi di peringkat kerajaan pusat dan tempatan bagi melakukan pemeriksaaan.

Menurut pihak yang terlibat dengan program ini, Zero Trust berupaya menganalisa rangkaian hubungan rumit kakitangan kerajaan dan terdapat pegawai kerajaan yang tidak selesa dengan kewujudan teknologi baru itu.

Cegah lakukan kesalahan yang lebih besar

AI ini dapat mengesan peningkatan jumlah wang yang mendadak dalam simpanan bank seseorang, atau contohnya jika seseorang itu membeli kereta baru atau terdapat tawaran kontrak kerajaan melalui nama pegawai kerajaan atau dari mana-mana saudara-maranya.

Apabila ia dikenalpasti, kemungkinan besar tindakan atas kesalahan rasuah akan diambil.

Salah seorang saintis komputer yang terlibat dalam membangunkan sistem AI itu berkata, jika hal ini terjadi, pihak berkuasa boleh menghubungi individu terbabit supaya berada di bawah pengawasan dan kemungkinan akan mencegah mereka daripada melakukan kesalahan yang lebih besar.

Sementara itu, Pegawai di Suruhanjaya Pemeriksaan Tatatertib Parti Komunis China di Ningxiang, wilayah Hunan, Zhang Yi dipetik South China Morning Post berkata tujuan utama sistem tersebut bukanlah untuk menghukum pegawai tetapi untuk "menyelamatkan mereka" dari tahap awal rasuah.

Menurut Zhang Yi, agensinya antara yang masih menggunakan sistem pengawasan itu.

"Kita hanya menggunakan mesin tersebut sebagai rujukan. Kita perlu periksa dan pastikan kesahihannya. 

"Mesin itu tidak boleh menjawab telefon dan menelefon individu yang bermasalah itu. Keputusan akhir sentiasa di tangan manusia," jelasnya.

Eksperimen Zero Trust hanya terhad kepada 30 daerah dan bandar, iaitu cuma satu peratus dari keseluruhan kawasan pentadbiran negara itu.

Sistem ini masih berjalan di Xiushui tetapi belum jelas jika ia akan terus diguna pakai. 

Beberapa pegawai tinggi kerajaan dilaporkan mempersoalkan sejauh mana mesin boleh mengakses pengkalan data yang sensitif kerana tidak ada peraturan atau undang-undang yang memberi kelulusan terhadap komputer atau robot untuk berbuat demikian.

Presiden Xi Jinping sebelum ini telah berulang kali menekankan keperluan mempromosikan inovasi teknologi dan sains seperti data besar dan kepintaran buatan (AI) dalam pembaharuan kerajaan.

Sejak diperkenalkan pada 2012, Zero Trust telah berjaya menangkap seramai 8,721 pegawai kerajaan di republik itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti melesapkan dana kerajaan, salah guna kuasa dan nepotisme.

Lihat Komen