malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tuduhan rasuah Rizal Mansor: Pendakwaan tak jadi bicara bersama kes Rosmah
Diterbitkan:  Feb 8, 2019 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM
ADS

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi memindahkan kes Rizal Mansor yang menghadapi empat pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah di Sarawak, untuk dibicarakan bersama dengan kes Rosmah Mansor yang berdepan pertuduhan sama.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang memaklumkan bahawa terdapat kesilapan teknikal dalam permohonan berkenaan.

Ahmad Akram berkata pihaknya berpendapat permohonan untuk memindahkan kes itu untuk didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan perlu ditarik balik, dengan kebebasan untuk memfailkan semula permohonan baharu.

Oleh itu kes itu akan didengar di hadapan Hakim Collin.

Dalam hujahnya Ahmad Akram berkata, di bawah Seksyen 25(2) Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964, menyatakan hakim juga mempunyai budi bicara untuk memindahkan terus kes ke mana-mana mahkamah.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri itu tidak membuat sebarang bantahan terhadap penarikan balik permohonan berkenaan.

Pada 15 November 2018, Rizal, 45, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah Mansor berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa telah meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan wang berjumlah RM187,500,000, yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

'Terima suapan bagi pihak Rosmah'

Bagi pertuduhan kedua, Rizal dituduh telah meminta untuk dirinya suapan wang berjumlah RM25,000,000 daripada Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe', Sunway Putra Mall, di Kuala Lumpur, antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa telah menerima bagi pihak Rosmah suapan wang tunai berjumlah RM5,000,000 daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana telah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Dis 2016.

Manakala bagi pertuduhan keempat, dia didakwa telah menerima untuk dirinya suapan wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah bagi diri tertuduh kerana telah memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa di No. 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut, dekat sini pada 23 Dis 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen