malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malam ini ulang tahun kahwin Najib, Rosmah: SPRM datang serah waran
Diterbitkan:  Feb 7, 2019 11:59 PM
Dikemaskini: 4:28 PM
ADS

Besok, bekas perdana menteri Najib Razak bakal dikenakan tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang digugurkan hari ini.

Sumber yang dekat dengan Najib mendedahkan pegawai SPRM telah datang ke rumah bekas presiden Umno itu di Jalan Duta malam ini bagi menghantar waran yang memerintahkan beliau hadir ke mahkamah bagi dihadapkan dengan pendakwaan berkaitan anak syarikat 1MDB, SRC International.

Sumber mendakwa SPRM pada awalnya mahu menangkap Najib tetapi tidak berbuat demikian selepas berlangsungnya perbincangan antara dua pihak itu.

Kunjungan SPRM itu selepas majlis makan malam meraikan ulang tahun perkahwinan Najib dan isterinya Rosmah Mansor yang ke-32.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam dalam hantarannya di Facebook mengesahkan hal ini.

"Beberapa jam yang lalu, pasangan ini penuh ceria bukan sekadar kerana ulangtahun mereka, tetapi hari ini menjadi lebih indah apabila peguam negara memohon kepada mahkamah tinggi untuk mengugurkan tiga pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib.

Apa perlu Najib bermalam di lokap?

"Belumpun puas meraikan kemenangan kecil pagi tadi, tiba-tiba tiga buah kenderaan SPRM hadir untuk membawa berita sedih bahawa Najib perlu mereka tahan untuk didakwa esok pagi jam 8.30, pada 8hb Februari, 2019 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta.

"Apa perlunya beliau bermalam di lokap malam ini? Pernahkah beliau tidak hadir di SPRM atau di mahkamah apabila dipanggil?

"Alhamdulillah, selepas perundingan pihak peguam dengan pegawai-pegawai SPRM, akhirnya pihak SPRM menggunakan budibicara mereka dan beredar pulang," kata Lokman.

Najib dikenakan tiga tuduhan tambahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001 pada 28 Januari lalu.

Najib dituduh terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) akta itu kerana didakwa menerima sejumlah RM47 juta dalam akaun AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 8 Julai 2014.

Bekas pengerusi BN juga didakwa dengan dua tuduhan menerima RM10 juta melalui dua akaun bank lain pada tarikh dan tempat yang sama.

Bagaimanapun, pertuduhan itu digugurkan hari ini selepas Peguam Negara Tommy Thomas memohon supaya Najib dilepaskan tetapi tidak dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

Thomas dipetik berkata Najib akan dikenakan pendakwaan pada suatu tarikh lain tetapi enggan mendedahkannya.

Lihat Komen