malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib: Jangan lupakan orang bujang, OKU miskin
Diterbitkan:  Feb 7, 2019 10:29 PM
Dikemaskini: 2:29 PM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak mempertikaikan keputusan Putrajaya untuk membatalkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada individu yang tidak berkahwin.

"Tidak semua orang berkahwin. Ramai bujang, hidup miskin dan susah. Ramai kerja berpendapatan tidak tetap. Ada juga yang OKU (Orang Kurang Upaya). Apa, mereka tidak perlukan bantuan?

"Hidup bawah Pakatan Harapan tidak sama seperti dulu lagi," ciap Najib di Twitter.

Beliau berkongsi tangkap layar pengumuman dari Lembaga Hasil Dalam Negeri bahawa mereka yang berkahwin dengan bukan warganegara, ibu bapa tunggal tanpa tanggungan dan individu bujang tidak layak untuk menerima BSH tahun ini.

BSH merupakan penjenamaan semula inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada era Najib.

Sebelum ini di bawah BR1M, individu bujang yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan berhak mendapat bantuan sebanyak RM450.

Bagaimanapun, bantuan ini tidak diteruskan di bawah BSH.

BSH juga mengurangkan bayaran pokok bagi semua kategori penerima, tetapi meningkatkan bayaran tambahan mengikut bilangan anak dalam kumpulan B40 (golongan 40 peratus penduduk berpendapatan rendah).

Menurut BSH, isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah akan menerima bayaran sebanyak RM1,000, manakala mereka yang berpendapatan antara RM2,001 dan RM3,000 akan menerima RM750. Golongan yang berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 pula akan menerima BSH sebanyak RM500.

Isi rumah B40 berhak mendapat tambahan RM120 bagi setiap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah sehingga empat orang anak. Bagaimanapun tidak ada peruntukan untuk kanak-kanak kurang upaya.

 

Lihat Komen