malaysiakini logo
story-image
ADS

Kemunculan Najib Razak di Cameron Highlands semasa kawasan tanah tinggi itu memilih wakil rakyat baru bukanlah atas jemputan Umno atau BN.

Mendedahkan perkara itu Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan berkata kedatangan Najib ke Cameron Highlands sempena PRK tersebut adalah atas jemputan peneroka Felda dan tok-tok batin di situ.

Namun kata Mohamad sebagai ketua parti, beliau mengaku-alukan sebarang nilai tambah kepada BN dan Umno dalam PRK berkenaan.

"Saya tak gunakan perkataan digunakan. Di Cameron Highlands, Umno dan BN tak jemput beliau tetapi dia dijemput oleh warga Felda. Dia dijemput tok batin. Kita tak jemput.

"Orang Felda, tok batin minta beliau kerana jasa dia (Najib) besar. Dia buat rumah yang cantik (di sana) semua jasa beliau, dia dijemput," katanya pada sidang media selepas forum Bicara Minda di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada populariti Najib kini akan turut digunakan di PRK Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac ini.

Mengenai kemuculan Najib yang kini popular di media sosial dengan gelaran 'bossku' akan menjadi sebahagian daripada strategi Umno, Mohamad bagaimanapun menjawab: "Datuk Najib dengan gaya dia, apa masalah? Dia bukan atas platform Umno, dia platform sendiri. Malu apa bossku suka hati dialah."

"Dan saya yakin ini merupakan satu perkara yang baik dilakukan oleh beliau untuk bersama-sama menyatukan balik orang Malaysia supaya tak berpecah.

"Kalau masa yang sama dapat berikan nilai tambah kepada BN dan Umno, kenapa tidak?"

Sementara itu, beliau berkata isu saman fitnah yang dihadapi oleh PAS dengan pengarang Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown tidak menjejaskan BN yang kini sedang bekerjasama dengan parti itu.

Bagaimanapun Mohamad berkata Umno "berdukacita" dengan perkembangan itu.

"Saya tak fikir ia bagi kesan kepada BN kerana itu isu pihak PAS dengan pihak yang menyaman, tetapi kami dukacitalah.

"Nampak sangat isu ini diguna pakai dalam PRK Semenyih. Kita harap supaya pihak PAS akan berlapang dada menghadapi masalah ini," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen