malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Marzuki perlu minta maaf jika silap beri gambaran kelayakan akademik'
Diterbitkan:  Feb 7, 2019 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM
ADS

Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya perlu memohon maaf sekiranya silap memberi gambaran mengenai kelayakan akademiknya, kata Pengarah Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

"Kami ada masalah sebegini dalam kerajaan BN dulu dan jika benar Marzuki silap memberi gambaran mengenai kelayakan akademiknya, beliau patut meminta maaf dan mengorak langkah ke hadapan.

"Saya tidak akan mempertahankan sesiapa yang kurang integriti dan itu sekiranya beliau silap memberi gambaran mengenai dirinya lah," kata Rais, petik laporan The Star.

Kelayakan akademik Marzuki mula menjadi sorotan umum selepas suatu laporan polis dibuat terhadap dakwaan beliau telah berbohong berhubung mendapatkan ijazah dari University of Cambridge di United Kingdom.

Lantikan bukan sebab kelayakan akademik

Beliau menjelaskan semalam ijazah pentadbiran perniagaannya diperolehi daripada Cambridge International University yang dikatakan berpengkalan di Amerika Syarikat.

"Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS.

"Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya. Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Marzuki sekali lagi menegaskan beliau akan memberikan semua bukti kelayakan akademiknya kepada polis sebaik sahaja dipanggil untuk disoal siasat.

Menurutnya, semua tuduhan terhadapnya adalah berniat jahat dan bertujuan merosakkan reputasi beliau.

Kenyataan Rais bercanggah dengan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir yang mempertahankan Marzuki, berkata kelayakan akademik bukan sebab beliau dilantik menjadi timbalan menteri.

Rais berkata seseorang yang memegang jawatan dalam pentadbiran perlu memiliki integriti yang tinggi.

"Seseorang perlu memiliki integriti yang tinggi (apabila memegang jawatan) kerana itulah kita lawan BN dulu sebab kurang integriti.

"Integriti adalah segala-galanya," jelasnya lagi.

Lihat Komen