malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita mengaku tidak bersalah simbah asid pada ibu saudara
Diterbitkan:  Feb 7, 2019 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM
ADS

Seorang penggubah bunga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan mencederakan dua wanita termasuk ibu saudaranya menggunakan asid sehingga melecur di muka dan badan.

Shafiqah Izzati Badrul Hisham, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin selepas dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Shafiqah didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap ibu saudaranya, Rafzaliza Rafli , 34, dan rakan Rafzaliza, Nadia Mohd, Khalid, 35, dengan menggunakan asid menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami lecur yang teruk di bahagian muka dan badan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Kencana Fasa 2, Pandan Perdana pada 3.30 petang, 29 Jan lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh kerana tertuduh mempunyai hubungan keluarga dengan Rafzaliza dan atas faktor keselamatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan dia diikat jamin dengan alasan dia mengalami gangguan emosi.

Suzana tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Mac untuk sebutan semula kes.

Difahamkan kejadian berlaku berpunca daripada masalah hutang.

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen