malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP tak bekerjasama dengan PAS yang macam sekarang - Lim
Diterbitkan:  Feb 6, 2019 7:36 PM
Dikemaskini: 11:44 AM
ADS

PAS hari ini tidak sama dengan parti yang pernah bekerjasama dengan DAP sebelum Pakatan Rakyat dibubarkan, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong yang menyamakan kerjasama Umno dan PAS dengan kerjasama antara DAP dan parti Islam itu pada tahun 2008.

"Wee lemah sejarah kerana DAP tidak pernah bekerjasama dengan kepimpinan PAS yang menganjurkan jenama politik 'toksik' dan ganas, yang bertujuan menyemai kecurigaan, syak wasangka dan kebencian di kalangan kaum dan agama - yang tidak membina sebuah negara tetapi menghancurkan fabrik sosial di Malaysia.

"Ini bukan PAS yang DAP pernah bekerjasama ketika kami membentuk Barisan Alternatif pada 1999 hingga 2001 dan Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.

"DAP akan bekerjasama dengan politik Islam yang mengiktiraf Malaysia sebagai masyarakat majmuk dan percaya bahawa kehebatan Malaysia datang dari aset dan kualiti terbaik daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan tamadun di Malaysia," kata Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Wee semalam mempertahankan kerjasama antara parti-parti komponen BN dan PAS dalam beberapa pilihan raya kecil serta menyifatkan perkara itu amalan biasa dalam parti pembangkang.

PAS dan DAP pernah bergabung dalam Pakatan Rakyat bersama PKR sebelum pakatan itu dibubarkan pada 2015. Ini selepas berlaku perbezaan pendapat antara PAS dan DAP berhubung isu hudud.

Parti serpihan PAS, Amanah kemudian menyertai Pakatan Harapan (PH), yang kini menjadi gabungan kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 lalu.

Lim seterusnya berkata Wee, yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam akan kehilangan wang deposit jika pengundi mematuhi nasihat presiden PAS Abdul Hadi Awang agar memilih calon pilihan raya beragama Islam.

Beliau dipercayai merujuk kepada artikel Abdul Hadi yang disiarkan Harakah Daily bulan lepas, yang antara lain berkata:

"Kalau yang memimpin itu Islam, jika zalimnya sekurang-kurangnya menjadi gembala lembu. Tetapi kalau yang memimpin itu bukan Islam walaupun paling baiknya, boleh menjadi pekerja apa sahaja tanpa batas halal dan haramnya yang berakhir dengan neraka juga."

Menurut Lim, di kawasan Parlimen Ayer Hitam pada pilihan raya umum ke-14, Wee menang dengan 17,076 undi manakala calon PAS, Mardi Marwan memperoleh 4,975 undi.

"Sekiranya umat Islam hanya mengundi calon Muslim, seperti pendirian Hadi sekarang yang mendakwa bahawa seorang pemimpin Muslim yang korup adalah lebih baik daripada pemimpin bukan Islam yang bersih dan jujur, Wee tidak akan mendapat undi Muslim di kawasan parlimen Ayer Hitam dan akan kehilangan depositnya,"kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen