malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersatu sedia masuk Sabah, bincang dengan Warisan
ADS

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia membuka bahagian parti itu di Sabah tetapi perbincangan masih berlangsung bersama Warisan, sekutunya dalam PH yang pernah menolak cadangan itu sebelum ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya memberitahu Malaysiakini sebarang pengumuman berkaitan hal ini akan dibuat hanya selepas PRK Semenyih pada 2 Mac ini.

"Sekarang ini fokus kami pada (PRK) Semenyih. Sebarang pengumuman akan dibuat selepas itu," kata Marzuki yang juga timbalan menteri luar.

Portal dalam talian The Malay Mail hari ini memetik bekas pengerusi Umno Sabah Hajiji Mohd Noor berkata Bersatu akan masuk ke Sabah "tidak lama lagi."

"Saya boleh katakan Bersatu akan datang ke Sabah tidak lama lagi. Itu saya boleh pastikan," Hajiji dilapor berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Kinabalu.

Hajiji juga merupakan salah seorang MP dan Adun Umno yang keluar parti serta menyatakan sokongan kepada PH dan Perdana Menteri Dr Mahthir Mohamad.

Hajiji mendakwa telah berhubung dengan pemimpin Bersatu mengenai hal ini.

Keanggotaan Bersatu terbuka rakyat Sabah

Menurut laporan The Malay Mail lagi, Hajiji berkata beliau dan beberapa wakil rakyat Umno akan mengambil masa sebulan sebelum mengumumkan langkah seterusnya.

Marzuki berkata beliau tidak berhubungan dengan Hajiji tetapi menjelaskan perbincangan masih berjalan dengan Warisan.

"Kami masih dalam proses perbincangan. Tapi kami sedia untuk masuk ke Sabah.

"Perbincangan masih berjalan," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Hajiji yang Bersatu akan menubuhkan bahagiannya di negeri itu.

Tidak lama selepas ahli dan pemimpin Umno keluar parti secara besar-besaran, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata partinya tidak akan menubuhkan bahagian di Sabah, tetapi keanggotaannya akan terbuka kepada rakyat Sabah.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian berkata parti itu perlu berhati-hati dalam memutuskan untuk melebarkan sayapnya ke Sabah kerana PH mempunyai perjanjian dengan Ketua Menteri dan Presiden Warisan Shafie Apdal untuk tidak membuka cawangan di negeri itu.

Awal bulan ini, Shafie dilaporkan menggesa Bersatu untuk berpegang pada janjinya, menegaskan Warisan lebih mampu menguruskan dan mentadbir negeri itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen