malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Subsidi bil elektrik publisiti murahan PH - MIC
ADS

Langkah kementerian menetapkan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM980 yang berdasarkan Paras Garis Kemiskinan sebagai salah satu syarat kelayakan program subsidi bil elektrik kerajaan dipersoalkan seorang pemimpin MIC.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC M Veeran berkata syarat yang dikenakan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) itu tidak wajar kerana kerajaan telah memperuntukkan gaji minimum sebanyak RM1,100.

"Apakah rasional menetapkan RM980 sebagai syarat sedangkan gaji minimum negara kita adalah RM1,100 yang ditetapkan oleh kerajaan yang sama. Di mana nak cari golongan yang masih mendapat gaji bulanan RM980 dan ke bawah?"

"Di satu sudut kerajaan umum gaji minimum mesti RM1,100. 

"Di tempat lain letak syarat gaji RM980 sebagai kelayakan. Jadi di mana rasionalnya? Sepatutnya, kementerian perlu menetapkan gaji RM1,100 sebagai syarat untuk layak ke program ini," katanya kepada Malaysiakini.

Veeran turut mendakwa kementerian sengaja meletakkan gaji RM980 sebagai syarat kelayakan supaya ramai orang tidak layak menikmati subsidi ini.

"Saya percaya mereka sengaja meletakkan gaji RM980 sebagai syarat kelayakan. Ini satu lagi program hanya untuk mendapatkan publisiti murahan. Mereka tahu, ramai tidak akan layak dengan meletakkan syarat RM980 sebagai kriteria kelayakan," katanya.

Tambahnya, ini terbukti dengan kenyataan Menteri Yeo Bee Yin yang mengakui program tersebut jauh tersasar daripada sasaran asal seramai 208,800 ketua isi rumah menerima bantuan dalam program ini.

"Yang mendaftar hanya 66,000 sahaja. Saya percaya program ini tidak capai sasaran syarat kelayakan gaji. Maka, ini bukti kerajaan PH mencari publisiti murahan dengan program sebegini kononnya nak bantu rakyat," dakwa beliau lagi.

Dua faktor tak capai sasaran

Untuk rekod, program subsidi bil elektrik adalah bantuan kerajaan secara bersasar khusus kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, 2 November lalu.

Pada pembentangan Belanjawan 2019 lalu, kerajaan mengumumkan untuk menaikkan kadar subsidi bil elektrik kepada RM40 sebulan, berbanding RM20 ketika ini, yang membabitkan peruntukan RM80 juta serta bakal memanfaatkan 185,000 akaun pengguna.

Dalam pada itu, Menteri MESTECC Yeo Bee Yin dalam satu kenyataan berkata syarat gaji RM980 seperti yang didakwa MIC ini bukan faktor kementerian tidak mencapai sasarannya.

"Walau bagaimanapun, selepas mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Tahun 2016, iaitu RM980 untuk miskin dan RM619 untuk miskin tegar, kita menyasarkan seramai 208,800 KIR eKasih akan menerima bantuan ini.

"Data yang diperolehi oleh kementerian menunjukkan seramai 142,200 Ketua Isi Rumah (KIR) eKasih masih belum mendaftar dengan syarikat utiliti iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atau Sarawak Energy Berhad (SEB)," katanya.

Yeo berkata terdapat dua faktor utama jumlah pendaftaran penerima rebat kurang daripada sasarannya.

"Ketua isi rumah eKasih tidak mempunyai nombor akaun bil elektrik di mana bil elektrik didaftarkan atas nama ahli keluarga lain seperti isteri atau anak-anaknya."

"Kedua, ketua isi rumah tinggal di rumah sewa dan bil eletrik adalah di atas nama tuan rumah," jelasnya.

Lihat Komen