malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS-Umno: Kerjasama pembangkang perkara biasa, kata MCA
ADS

Kerjasama antara parti pembangkang perkara biasa dalam politik Malaysia, kata Presiden MCA Wee Ka Siong mengulas kerjasama Umno dan PAS pada masa ini.

Bercakap dengan pemberita di majlis sambutan Tahun Baru Cina di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur hari ini, Wee berkata kerjasama tidak sama dengan bergabung dan ia dilakukan untuk menjadi semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap kerajaan.

"Pada masa dulu, pembangkang memang mengadakan kerjasama.

"Saya tak lihat ia berbeza dengan ketika PAS bersama Pakatan Rakyat. DAP dan PAS bekerjasama dengan amat baik," katanya ketika diminta mengulas kerjasama antara Umno dan PAS yang dijangka semakin kukuh dalam PRK DUN Semenyih nanti.

Dalam PRK Cameron Highlands Januari lalu, PAS dilihat antara faktor utama kejayaan BN mengekalkan kemenangan.

"Pada 2008 dan 2013, parti-parti ini (PAS, DAP, PKR) ada persefahaman... Di kawasan DAP, anda lihat PAS letakkan calon?

"Jadi (kini) apabila dua parti (BN dan PAS) putuskan untuk hantar satu calon, ia sama. Apa salahnya?" soalnya.

Berhubung perbezaan antara kerjasama dan penggabungan, beliau berkata;

"Misalnya jika sebuah parti kata 'kami mahu lawan rasuah'. saya tak boleh kata kami (MCA) ada ideologi berbeza dan perlu kata sebaliknya.

"Ia bukan anda kata 'A', maka saya kena kata 'B'. Maka ada kerjasama antara parti pembangkang, ia bukan perkara baru dan bagi saya tiada masalah," katanya yang juga anggota parlimen Ayer Hitam.

Pemimpin PAS sebelum ini bertegas mengatakan kerjasama dengan Umno berdasarkan matlamat memperjuangkan isu Melayu dan Islam, bukan demi keuntungan politik seperti dakwaan sesetengah pihak.

Turut hadir di majlis itu adalah pemangku presiden Umno Mohamad Hasan, Presiden MIC SA Vigneswaran dan Anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Lihat Komen