malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penagih menyamar jadi polis, peras ugut warga asing ditahan
Diterbitkan:  Feb 4, 2019 7:11 PM
Dikemaskini: 11:11 AM
ADS

Seorang penagih dadah yang menyamar sebagai anggota polis sejak dua bulan lepas dan memeras ugut warga asing berjaya ditahan polis Sabtu lepas, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini.

Lelaki berumur 33 tahun itu ditahan di Bertam Perdana di Pulau Pinang kira-kira pukul 2.30 pagi ekoran satu laporan polis yang dibuat oleh seorang warga asing yang mendakwa telah diperas ugut dan disamun suspek.

“Mangsa dalam laporannya berkata suspek yang lengkap beruniform PVR (sukarelawan simpanan polis) telah meminta bayaran RM1,000 daripadanya bagi membolehkan suspek dilepaskan kerana membawa motosikal tanpa lesen,” katanya dalam sidang akhbar di Kepala Batas.

Beliau berkata apabila mangsa memberitahu dia tidak mempunyai wang sebanyak itu, suspek memaksanya meminjam daripada rakan-rakan sekerjanya di sebuah rumah kongsi, namun tidak juga berhasil.

“Selepas itu, suspek telah bertindak mengambil telefon dan sejumlah wang tunai yang ada pada mangsa sebelum meninggalkannya di kawasan perumahan Bertam Lake House,” katanya. 

Mangsa kemudiannya balik ke rumah kongsi pekerja itu sebelum membuat laporan polis.

Noorzainy berkata polis mendapati suspek telah terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes yang dilaporkan di Seberang Perai Utara membabitkan pemerasan terhadap warga asing dengan menyamar sebagai anggota polis.

Sepasang pakaian seragam PVR dan sebuah motosikal yang dipercayai dicuri suspek dan digunakan untuk menjalankan kegiatannya turut dirampas, katanya.

“Siasatan turut mendapati suspek sudah diberhentikan daripada perkhidmatan PVR sejak dua tahun lepas kerana kesalahan dadah,” katanya.

Lelaki berkenaan juga didapati positif mengambil dadah dan kini direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 170 kanun yang sama kerana menyamar sebagai anggota polis.

- Bernama

Lihat Komen